Kereta dibawa arus

0

Oleh Ambrose Rirang //

Lapan mangsa nyaris maut setelah kenderaan mereka dibawa arus deras ketika melalui jalan ditenggelami air

TERGOLEK: Sebuah kenderaan dibawa arus deras ketika melalui Kilometer 17 Jalan Bintulu-Tatau yang dinaiki air pada malam Ahad lalu.

BINTULU: Lapan mangsa daripada dua keluarga nyaris maut setelah dua kenderaan yang mereka naiki dibawa arus deras ketika melalui jalan yang ditenggelami air di Kilometer 17 Jalan Bintulu-Tatau, sekitar jam 11 malam kelmarin (Ahad).

Menurut sumber, kenderaan yang dikatakan dari Tatau menghala ke Bintulu itu melalui jalan yang ditenggelami air manakala sebuah lori dari arah bertentangan turut melalui kawasan sama.

Alunan air yang kuat dari lori berkenaan menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit hilang imbangan, lalu dihanyutkan arus deras ke tepi jalan dan terjatuh ke kawasan curam di sebelah jalan.

Mujurlah semua mangsa dapat menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan akibat hentakan semasa kenderaan mereka jatuh ke kawasan curam.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu dengan bantuan agensi berkaitan tiba ke lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam kedua-dua kenderaan terbabit.

Kejadian ini menyebabkan laluan ditutup sementara waktu sementara menunggu air banjir surut dan selamat dilalui  kenderaan.

SEPERTI AIR TERJUN: Kenderaan tersadai di celah-celah kawasan cerun tepi jalan setelah dibawa arus deras.