Pelaksanaan projek dipercepat untuk manfaat rakyat: Nanta

0

JULAU: Projek kerajaan melalui pelbagai agensi adalah bagi mempercepat pelaksanaannya untuk manfaat rakyat di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata ini sejajar dengan slogan kerajaan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

“Sebagai contoh, sekarang bukan sahaja SESCO boleh menyediakan elektrik kepada rakyat di Sarawak.

“Tetapi, Majlis Penasihat Sarawak 1Malaysia (1MSAC) dapat membina hidro mikro untuk memberi bekalan elektrik kepada rumah-rumah panjang terletak jauh di pedalaman,” katanya ketika merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Mengiring Masil di Lepong Bilat, Hulu Mujok di sini Sabtu lalu.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Meluan.

Ia turut dihadiri Pengerusi 1MSAC merangkap Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum, Pemanca Janggu Banyang, Pengerusi PBB Cawangan Meluan Kaunselor Paulus Banyang, Pengerusi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Bahagian Meluan Belayong Jampong dan Penyelaras JASA Parlimen Julau Sylvester Embuas.

Pada majlis itu, Nanta bersama Salang merasmikan projek bekalan air paip bagi rumah panjang 24 pintu dan turut melancarkan PBB Ranting Hulu Mujok.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata, projek air paip itu telah dilaksanakan oleh agensi berbeza.

“Bajet ini adalah di bawah kementerian saya tetapi kerja-kerja dijalankan Pejabat Kesihatan Julau untuk memastikan penduduk tidak perlu menunggu lama pelaksanaan projek,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa rakyat tidak membiarkan tanah mereka terbiar begitu sahaja.

“Anda boleh memperolehi wang apabila tanah ditanam dengan tanaman seperti getah dan lada,” katanya sambil menambah bahawa terdapat agensi-agensi kerajaan yang dapat membantu mereka berbuat demikian.

Pada majlis sama, beliau mengumumkan geran RM10,000 bagi JKKK Rumah Mengiring dan RM5,000 untuk PIBG SK Nanga Ju.