Persekutuan Persatuan Cina Sarawak rancang cipta dua lagi rekod

0

MIRI: Persekutuan Persatuan Cina Sarawak Bahagian Miri merancang mencipta dua lagi percubaan dalam Malaysia Book of Records (MYBOR) tahun ini.

Presidennya Hii Teck Yun berkata usaha itu dirancang persekutuan itu sempena meraikan Ulang Tahun Ke-10 Miri sebagai bandar raya.

“Sehingga kini kami mencipta tiga rekod baharu MYBOR iaitu menerbangkan tanglung Kung Ming paling banyak, membuat kaligrafi tulisan Cina ‘ma’ (istilah bahasa Cina untuk kuda) paling banyak dan mencipta Jalur Gemilang menggunakan duit siling 20 sen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai jawatankuasa persekutuan berkenaan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai di sini semalam.

“Kami berhasrat mencipta dua lagi rekod dalam MYBOR dan perkara lanjut berhubung cadangan ini akan didedahkan kelak,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Lai mengalu-alukan hasrat tersebut kerana ia bukan sahaja mengangkat imej persatuan terbabit tetapi bandar raya Miri yang akan menyambut Ulang Tahun Ke-10 pada 20 Mei akan datang.

Katanya pada masa ini sebanyak 13 rekod baharu dicipta dalam MYBOR untuk bandar raya Miri sama ada oleh MBM mahupun persatuan atau organisasi tempatan di sini.

“Saya amat mengalu-alukan dan memberikan sokongan ke arah usaha mencipta rekod baharu dalam MYBOR kerana secara tidak langsung membantu memperkenalkan bandar raya Miri.

“Ia juga amat baik untuk membantu Miri merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan industri pelancongan,” tambahnya.

Terdahulu, Hii menyampaikan surat jemputan kepada Lai bagi menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran persekutuan itu pada 28 Februari depan di Hotel Meritz, Miri.

Majlis itu dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib serta Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu.

Selain ketua-ketua dan pemimpin masyarakat Cina sama ada dalam masyarakat mahupun pertubuhan, persekutuan turut menjemput para pemimpin kalangan Bumiputera di sini.