Projek pembangunan infrastruktur dilaksana Feb

0

Oleh Nick Fletcher //

Ia adalah projek pembangunan infrastruktur kerajaan persekutuan untuk Sarawak, yang pertama Hospital Sri Aman

BAIKI SEGERA: Fadillah (kiri) melihat laporan kerosakan jalan di Sarawak akibat banjir yang dipegang Manyin (kiri) selepas mengadakan sidang media sempena Jerayawara Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) 2014/2015 di Kuching, semalam.

KUCHING: Projek-projek pembangunan infrastruktur kerajaan persekutuan untuk Sarawak tahun ini dijangka mula dilaksanakan pada Februari.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek pertama yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Hospital Sri Aman.

“Tender sudah ditutup dan majlis pecah tanah akan diadakan antara 26 atau 27 Februari…ini sasaran kami,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jerayawara Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) 2014/2015 di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Selain itu, katanya ialah pembinaan jalan dari Emart Matang ke Stapok bernilai RM145 juta di mana tendernya juga sudah ditutup dan sedang menunggu kelulusan di peringkat Kementerian Kewangan.

“Jawatankuasa tender di peringkat kementerian sudah bersidang dan membuat cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk kontraktor yang layak mendapat projek,” katanya.

Fadilah menambah, turut akan dibina ialah Jambatan Batang Samarahan di mana ia telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan kontraktor dijangka masuk ke tapak pada minggu pertama Februari nanti.

Juga akan dilaksanakan, menurutnya ialah projek jejambat motosikal dan pejalan kaki di UNIMAS iaitu tender dijangka dibuka pada penghujung Januari ini dan pembinaannya diharap dapat dilaksanakan selepas itu.

Manakala bagi permohonan projek jalan di Sarikei yang menghubungkan Tanjung Manis, Fadillah berkata terdapat sedikit aspek teknikal untuk kementeriannya menentukan penjajaran mengikut permintaan kerajaan negeri.

“Perkara ini sudah dibawa ke Unit Perancangan Ekonomi (EPU) tetapi EPU menyuruh kami membuat kajian lanjut untuk berbincang dengan kerajaan negeri berhubung projek tersebut,” katanya.

Mengenai naik taraf Jalan Kuching-Serian dari Batu 10 ke Batu 15, Fadillah berkata projek berkenaan telah diluluskan dengan kos lebih kurang RM80 juta.

“Kami sudah membuat makmal kajian nilai pada 4 hingga 6 November lepas dan perunding telah dilantik tetapi cabaran kami adalah untuk memindahkan utiliti di sekitar kawasan tersebut kerana terdapat banyak batang paip, kabel elektrik serta telefon dan sebagainya.

“Bila selesai perkara ini, tender akan dibuka dan jalan ini akan dinaik taraf kepada dua lorong dua hala iaitu standard R5,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata projek permulaan bagi Pan Borneo adalah dijangka pada 30 Mac iaitu naik taraf jalan simpang Nyabau ke jalan simpang Bakun di Bintulu kepada standard R5 yang dilaksanakan di bawah jalinan kerjasama antara Public, Private Partnership (PPP).

Turut akan dilaksanakan, tambah beliau ialah lorong memotong untuk Pan Borneo.

“Keseluruhan yang dipersetujui dahulu ialah 95 lorong dan 72 lorong sudah siap…sekarang, kami sedang melaksanakan di 10 lokasi untuk dibawa ke tahun ini dan akan dilaksanakan terutama di kawasan kerap berlaku kemalangan.

“Secara keseluruhan dari tahun lepas sehingga penghujung tahun ini, kira-kira 22 lorong memotong akan dilaksanakan dari Kuching hingga ke Lawas,” katanya.