Pusat hiburan kerugian lebih RM20,000 akibat vandalisme

0

KUCHING: Sebuah pusat hiburan di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim di sini, mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila menjadi sasaran vandalisme oleh sekumpulan lelaki.

Kumpulan itu dikatakan telah merosakkan barang-barang seperti kamera litar tertutup (CCTV), peti sejuk, sistem bunyi dan beberapa perabot.

Difahamkan, beberapa minuman keras turut dipecahkan manakala selebihnya dilarikan.

Insiden itu dikatakan berlaku sekitar jam 3.30 pagi kelmarin, tanpa diketahui motif lelaki-lelaki tempatan itu bertindak agresif.

Pemilik dalam lingkungan umur 30-an telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kes berasingan, sebuah keluarga mengalami kerugian kira-kira RM5,000 apabila kediaman mereka di Kenyalang Park di sini, dipecah masuk pada hujung minggu lalu.

Keluarga tersebut hanya menyedari insiden itu kira-kira jam 9 malam kelmarin apabila mendapati tingkap telah dipecahkan.

Antara barangan yang didapati hilang adalah alat permainan Playstation 4 dan komputer riba.

Laporan polis telah dibuat dan kes sedang disiasat.