RM80 juta-RM100 juta baiki jalan rosak akibat banjir, tanah runtuh

0

KUCHING: Kos membaik pulih jalan yang rosak akibat banjir dan tanah runtuh di Sarawak baru-baru ini dianggarkan sebanyak RM80 juta hingga RM100 juta.

Menurut Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin, 42 jalan telah didapati rosak di Kuching, 33 di Samarahan, satu di Sri Aman, tujuh di Betong, 21 di Sibu, satu di Bintulu, 13 di Mukah dan empat di Limbang.

“Jalan yang paling teruk rosak ialah di Jalan Puncak Borneo yang memerlukan peruntukan kira-kira RM10 juta untuk membina lencongan jalan dari Braang Bayur menuju ke Puncak Borneo,” katanya, sambil menambah terdapat tiga kawasan jalan yang rosak di sepanjang Jalan Puncak Borneo dan pembinaannya mungkin memakan masa sepanjang tahun ini untuk siap.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Jerayawara Lembaga Jurutera Malaysia yang dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Selain itu, Manyin berkata tanah runtuh turut merosakkan sebahagian jalan di Bau, Ulu Sebauh dan Ulu Babu.

Beliau menambah, banjir dan tanah runtuh turut merosakkan paip air.

Sementara, Fadillah berkata kebanyakan jalan yang rosak tersebut adalah jalan negeri tetapi kerajaan persekutuan akan turut membantu melalui JKR untuk membuat penilaian bagi kos kerosakan.

“JKR telah diarahkan untuk membuat anggaran kos kerosakan yang memerlukan penyelesaian segera,” katanya.

Bagi jalan persekutuan di Sarawak, beliau berkata jalan yang rosak teruk ialah di Kilometer 35 Jalan Tedungan di Limbang yang menghubungkan Brunei.

“Jalan ini telah dinaik taraf lima tahun lepas tetapi banjir kali ini telah menyebabkan Limbang terputus hubungan dan kami perlu mencari penyelesaian bagaimana untuk mengelak insiden sama daripada berlaku lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata kerajaan negeri juga boleh memulakan kerja membaik pulih jalan negeri menggunakan dana di bawah Malaysian Roads Records Information System (MARIS) sementara menunggu penilaian kos kerosakan oleh JKR siap.