Rugi RM7,000 gara-gara tiket loteri RM200,000

0

KUCHING: Wang RM7,000 yang sepatutnya digunakan untuk membiayai perubatan isteri ghaib dalam sekelip mata gara-gara terpedaya dengan tipu muslihat tiga lelaki warga asing di pasar Kota Sentosa, semalam.

Menurut seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Guan, dia mendekati pasangan itu setelah terserempak dengan mereka di kedai loteri apabila lelaki berkenaan seolah-olah hilang arah sementara isterinya sedang menangis teresak-esak di longkang

Pasangan itu katanya, mendakwa telah didatangi kumpulan itu yang mendakwa bahawa mereka menang loteri namun tidak dapat menuntut wang kemenangan tersebut kerana tidak memiliki kad pengenalan.

“Kumpulan itu menawarkan duit kemenangan loteri sebanyak RM200,000 itu kepada pasangan tersebut untuk dituntut dan sebagai ganti, suami isteri berkenaan hanya perlu membayar mereka RM7,000,” katanya kepada pemberita, semalam.

Tanpa mengesyaki apa-apa katanya lagi, pasangan itu bersetuju untuk bertemu di Kota Sentosa petang semalam untuk mengeluarkan duit dari bank sebagai ganti tiket loteri.

Bagaimanapun, tiga lelaki itu terus melarikan diri selepas mendapat duit tersebut, tambahnya.

Guan kemudian menasihati pasangan itu untuk membuat laporan polis di balai berhampiran.

“Saya mahu orang ramai lebih berhati-hati kerana anda boleh menjadi sasaran kaki tipu pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi apabila tawaran tersebut terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.

“Tidak ada benda percuma di dunia dan duit tidak akan datang bergolek dengan mudah,” katanya.