Sarawak persiap atlet skuad taekwondo

0

KUCHING: Persatuan Taekwondo Sarawak (STA) akan terus menghantar atlet ke luar negara untuk latihan dan pendedahan sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di negeri ini.

Presiden STA, Mohamad Salleh Sani berkata adalah menjadi matlamat dan objektif persatuan tersebut melatih dan membangunkan atlet yang berpotensi menerusi latihan dan kejohanan.

“Melalui latihan dan pendedahan, kami berharap bukan sahaja mengasah kemahiran atlet tetapi juga mengatasi kelemahan dan memperbaiki kekuatan atlet sebagai persediaan untuk temasya itu pada 2016,” katanya.

Beliau berkata persatuan berkenaan baru-baru ini, menghantar atlet mudanya yang berpotensi, Stefano Atom dari Kelab Taekwondo Smart- Club (WTF) iaitu anggota gabungan STA dari Bintulu, menghadiri seminar tenaga pengajar/kejurulatihan di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.

Kursus itu dikendalikan oleh Nguyen Thanh Huy, pemegang Tali Pinggang Hitam Tujuh Dan, yang juga Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Taekwondo Vietnam dan seorang master poomsae bertaraf dunia. — Bernama