Skim pelesenan jurutera sedia perkhidmatan kejuruteraan profesional akan diperkenal

0

KUCHING: Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) akan memperkenalkan skim pelesenan untuk jurutera profesional yang ingin menyediakan perkhidmatan kejuruteraan profesional di negara ini.

Presidennya Datuk Annies Md Ariff berkata skim pelesenan tersebut diperlukan bagi menaik taraf keselamatan awam dalam industri pembinaan.

“Jurutera profesional tahap satu boleh diambil bekerja sebagai jurutera dengan had ke atas hak-hak tertentu di bawah Akta Pendaftaran Jurutera (Pindaan).

“Jurutera profesional tahap dua dengan perakuan amalan akan mempunyai segala hak yang diberikan kepada seorang jurutera profesional seperti dalam akta sebelumnya,” katanya ketika berucap pada Jerayawara BEM 2014 di sini, semalam.

Jerayawara tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin.

Dalam pada itu, Annies berkata dengan pelaksanaan pindaan akta berkenaan yang dijangka pada penghujung tahun ini, beliau percaya bahawa bulan pertamanya akan mencabar bagi BEM.

“Struktur BEM perlu diubah dan operasinya dikaji mengikut pindaan akta tersebut di mana akan terdapat kategori baharu bagi pendaftaran jurutera serta keperluan tambahan pendaftaran di firma perunding kejuruteraan.

“Jurutera tempatan dan asing perlu mendaftar,” katanya.

Selain itu, Annies berkata Peperiksaan Kompetensi Profesional akan diberikan untuk memastikan semua jurutera mencapai kecekapan yang diperlukan.

Akta Pendaftaran Jurutera (Pindaan) 2014 telah diluluskan oleh Parlimen pada 18 Disember 2014.

Pindaan kepada akta itu bertujuan meliberalisasikan profesion kejuruteraan di Malaysia secara berperingkat sehingga mencapai 100 peratus, jika perlu selaras dengan keputusan kerajaan yang menghendaki sektor perkhidmatan dibuka untuk penyertaan dan pemegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus.