Anggota keselamatan bantu mangsa banjir berdepan detik cemas

0

BANTU: Bomba dan JPAM Limbang memindahkan penduduk ke kawasan selamat di Jalan Kubong.

LIMBANG: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) berdepan detik cemas dalam misi membantu mangsa banjir di Jalan Kubong di sini kelmarin apabila berjaya menyelamatkan nyawa seorang bayi berusia 11 bulan dan lelaki Penan penghidap sakit jantung bagi mendapatkan rawatan di Hospital Limbang.

Pemangku Ketua Bomba Zon Limbang, Bonny Martin berkata meskipun berdepan pengalaman sukar dalam misi bantuan banjir berikutan tujuh kawasan terputus hubungan sepanjang jalan Kubong, namun hasil kerjasama padu anggota keselamatan lain mangsa dan penduduk terjejas banjir berjaya dipindahkan.

Katanya, mangsa dipindahkan dengan kekuatan sembilan anggota bomba, 12 JPAM dan PGA menggunakan aset kenderaan jenis Lori Hicom, dua bot bomba, dua bot JPAM membabitkan seramai 40 orang penduduk ke tempat selamat.

“Dalam operasi kali ini, kita berjaya menyelamatkan bayi 11 bulan yang mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan seorang lelaki Penan menghidap jantung.

“Kedua-dua mangsa dibawa dari Klinik Penganan, Limbang dan seterusnya ke Hospital Limbang menggunakan bot dan bot kecil disorong menggunakan tenaga manusia disebabkan jalan raya terputus akibat banjir di Jalan Kubong,” katanya di sini semalam.

Turut berada di lokasi Pegawai Pertahanan Awam, JPAM Daerah Limbang, Leftenan Muda Subuh Posa.

Bonny berkata, anggota keselamatan juga terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke kawasan terjejas kerana tidak semua jalan dapat dilalui menggunakan bot.

“Misi membantu banjir di Jalan Kubong memang mencabar berbanding kejadian banjir di Pekan Medamit dan Batu Danau sebelum ini,” katanya yang meredah banjir menggunakan pakaian seragam Bomba demi misi membantu mangsa.

Banjir melanda kawasan Jalan Kubong menyebabkan beberapa rumah panjang seperti Rh Sengat, Rh Bujang, Rh Simbau, Semabat, Rh Mangi, Rh Bakat dan Rh Pengangan dimasuki air.

Bagaimanapun, keadaan banjir di kawasan berkenaan sudah surut dan jalan boleh dilalui kelmarin.

Bonny memberitahu hanya beberapa kawasan masih ditenggelami air membabitkan jalan masuk ke Pangkalan Madang, Pangkalan Jawa, Ranggu, Tanjung Reman dan Tanjong disebabkan pergerakan air surut agak perlahan.

Keadaan itu menyebabkan terdapat sesetengah rumah masih ditenggelami air dan dua buah jambatan di kawasan terjejas juga sedang diperbaiki.

Sementara itu, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Limbang menjelaskan setakat jam 11.30 tengah hari semalam seramai 235 mangsa daripada 68 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Bidang, Dewan Imigresen Tedungan dan SK Menuang.

Daripada jumlah itu, seramai 109 mangsa daripada 30 keluarga dipindahkan di Dewan Kampung Bidang, SK Menuang (47 mangsa, 16 keluarga) dan Dewan Imigresen Tedungan merekodkan 79 mangsa dan 22 keluarga.

Manakala lima buah sekolah rendah masih ditutup iaitu SK Kuala Awang, Pangkalan Jawa, Tanjong, Lubuk Tekuruk dan Telahak.