Bom tangan, peluru M16 dijumpai dalam premis kosong

0

GEORGE TOWN: Tiga butir bom tangan bersama 76 butir peluru dan empat kelopak peluru M16 ditemui di sebuah premis kosong di Jalan Tun Dr Awang, Bukit Jambul di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata bahan letupan dan peluru itu ditemui di dalam sebuah beg serba guna di belakang pendingin hawa di balkoni premis itu.

“Tiga pekerja yang ingin menyelenggara pendingin hawa premis berkenaan me-nemui bahan-bahan itu ketika ingin memeriksa kompresor pendingin hawa itu pada jam 9 malam,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata kesemua barangan itu masih boleh berfungsi dengan baik dan polis akan melakukan ujian balistik terhadap peluru berkenaan untuk siasatan lanjut.

Premis yang terletak di tingkat satu rumah kedai tiga tingkat itu pernah diserbu polis bersabit kes dadah pada 6 Jan dan polis kini menyiasat kemungkinan kedua-kedua kes itu mempunyai kaitan, katanya.

Mior Faridalathrash berkata premis itu pernah dijadikan salon kecantikan tetapi telah dikosongkan penyewa terdahulu selepas serbuan dadah itu.

“Polis kini menyiasat untuk mengetahui tujuan apa bom dan peluru itu disorokkan di situ,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan oleh Unit Pemusnah Bom mendapati bahan letupan dan peluru kaliber 5.56 mm itu bukan milik kerajaan Malaysia.

“Kami percaya ia diseludup dari negara jiran,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Bernama