Diganggu hantu

0

Oleh Jeremy Lanson//

TRAGIK: Mayat mangsa dihantar ke HUS oleh pihak polis untuk bedah siasat.

Lelaki disyaki hidap penyakit kencing tikus, dakwa diganggu makhluk halus ditemui mati dalam belukar

KUCHING: Gara-gara mendakwa sering diganggu hantu, seorang lelaki yang disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus nekad melarikan diri dari keluarganya sebelum ditemui mati di dalam belukar, semalam.

Menurut ahli keluarganya, mangsa Garriet Moset, 33, dari Kampung Semadang di sini mengalami demam sejak dua minggu lepas dan sering hilang arah serta mendakwa diganggu makhluk halus yang cuba meragut nyawanya.

Risau melihat keadaan mangsa, keluarganya menghantarnya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dia disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus atau Leptospirosis.

“Dia (mangsa) sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital, tetapi dia enggan kerana mendakwa sering diganggu hantu menyebabkan dia melarikan diri dari hospital dan pulang ke rumah.

“Pada 22 Januari lepas, bapanya sekali lagi menghantarnya ke hospital kerana keadaannya menjadi semakin parah dan sebaik tiba berdekatan Taman Emas, Batu 9, dia tiba-tiba keluar dari kereta dan terus menghilangkan diri.

“Usaha mencarinya diteruskan dari hari ke hari sehinggalah hari ini (semalam) dia ditemui mati di kawasan belukar tidak jauh dari kawasan perumahan di Batu 9,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern yang mengesahkan kejadian tersebut memberitahu, keadaan mayat mangsa semasa ditemui tidak berpakaian dan hampir reput.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak berpakaian di kawasan belukar dan telah dihantar ke HUS untuk bedah siasat.

“Tiada unsur jenayah ditemui dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat,” kata Lee.