Imigresen pergiat operasi ke atas pati

0

PERIKSA: Pegawai imigresen melakukan dokumentasi warga asing yang ditahan.

KUCHING: Sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan daripada 54 warga asing yang diperiksa dalam satu operasi oleh Jabatan Imigresen, kelmarin.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Garry Belayong John Sikie berkata, operasi tersebut dijalankan sempena Ops Dandan, Ops Selera dan Ops Mahir di sekitar bandar raya ini.

Menurutnya, kesemua yang ditahan didapati melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, selain tinggal dalam negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Operasi ini bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang di mana kita berjaya memeriksa seramai 126 orang iaitu 72 warganegara tempatan, 46 warga Indonesia, dua dari Thailand dan enam dari Bangladesh.

“Daripada 54 warga asing yang diperiksa, sembilan orang ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar peraturan imigresen,” ujarnya.

Sementara itu, difahamkan operasi tersebut diteruskan semalam dengan 18 lagi warga asing berusia antara 20 dan 40 tahun ditahan sempena Ops Mahir di bawah akta yang sama.

Kesemua PATI yang ditahan akan dihantar ke depot tahanan untuk siasatan lanjut dan dibicarakan.