Isu PPS: Pulau Pinang fail semakan kehakiman batalkan perintah KDN

0

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang semalam menfailkan permohonan bagi semakan kehakiman untuk membatalkan perintah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengisytiharkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) negeri ini sebagai sebuah pertubuhan haram.

Permohonan itu difailkan kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh yang juga pengerusi PPS di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini menerusi Tetuan Sreenevasan.

Dalam permohonan itu, kerajaan negeri Pulau Pinang selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonan itu, kerajaan negeri itu antara lain memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan perintah yang dibuat Menteri Dalam Negeri pada 3 Nov 2014 yang mengisytiharkan PPS sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.

Kerajaan negeri itu turut memohon suatu perintah mandamus bagi mengarahkan responden mengembalikan semua jaket, peralatan, lambang, senjata atau sebarang dokumen kepunyaan PPS.

Kerajaan negeri juga memohon suatu deklarasi bahawa PPS telah ditubuhkan secara sah dan betul oleh kerajaan negeri menurut Seksyen 101 (v) Akta Kerajaan Tempatan, 1976.

Menerusi permohonan itu, kerajaan negeri yang membawa permohonan bagi pihak PPS mendakwa perintah yang dibuat KDN adalah tidak berpelembagaan kerana melanggari Artikel 4, 5 (1),8, 10(1) atau 13 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Pemohon berkata bagi tempoh tiga tahun yang lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi kerajaan yang lain telah menggunakan khidmat PPS dalam pelbagai mesyuarat dan aktiviti dalam usaha mereka memerangi jenayah dan menguruskan situasi-situasi kecemasan.

Menurutnya, PPS telah dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam sambutan Hari Merdeka pada tahun 2012 dan 2013 dan telah berbuat demikian tanpa sebarang kejadian tidak diingini sehinggga 2014.

Kerajaan negeri itu men-dakwa responden pertama (Menteri Dalam Negeri) telah mengambil kira pertimbangan yang tidak relevan dalam membuat perintah itu dengan me-nyatakan bahawa PPS “sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan ketenteraman awam”. — Bernama