Kelabit dilanda banjir dapat perhatian

0

Oleh W. Bolly Ongie//

 

TERPUTUS: Dennis (kiri) menunjukkan jambatan gantung terputus sambil disaksikan Mackos (tiga kiri) dan Tuloi (tengah) serta penduduk kampung.

MARUDI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau ditemani Pegawai Daerah Marudi, Mackos Sibong yang juga Pengerusi Bencana Alam Banjir Daerah Baram mengadakan lawatan sambil memantau keadaan di rumah panjang kaum Kelabit di Long Peluan dan Long Banga di Hulu Baram.

Tinjauan itu bagi mendapatkan maklumat lebih jelas berhubung keadaan dan keperluan penduduk di kedua-dua kampung berkenaan yang dilanda banjir kilat pada tengah malam, 18 Januari lalu.

Lawatan itu juga bagi mendapatkan laporan lengkap berhubung kerosakan dan kerugian harta-benda, kemusnahan tanaman dan sebagainya disebabkan banjir.

Long Peluan hanya dapat dihubungi dengan jalan raya dari Miri serta jalan pembalakan, sejauh 10 jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari sini dilanda banjir kilat setinggi 10 kaki merupakan banjir terburuk pernah dialami penduduk kampung terbabit.

Menurut Ketua Kaum Kampung Long Peluan, Tuloi Bayo banjir ini memusnahkan tiga buah jambatan gantung yang menyeberangi Sungai Peluan dan penghubung utama dari kampung ke ladang kelapa sawit, sawah padi dan stesen solar milik kampung tersebut.

Selain itu, saluran paip air turut musnah dan terputus disebab arus deras namun dipulihkan semula selepas banjir berakhir melalui gotong-royong.

“Tingkat bawah rumah panjang kami turut ditenggelami air, tetapi kami amat bernasib baik kerana ia berlaku tidak lama,” jelas Bayo.

Sementara itu, Dennis memberitahu beliau memastikan pembinaan jambatan gantung sepanjang 50 meter menyeberangi Sungai Peluan itu dilakukan secepat mungkin menerusi Pejabat Daerah Marudi.

Dalam pada itu, Mackos turut menasihatkan mangsa banjir menyenaraikan harta-benda musnah akibat banjir seperti sawah padi, tanaman komersil lain dan hendaklah hantar kepada Pejabat Daerah Marudi untuk dipertimbangkan bagi pembayaran pampasan.