Banyak peluang jadi guru besar, pengetua

0

Oleh Jessica Jawing //

Dianggarkan lebih 100 ketua sekolah di Sarawak akan bersara setiap tahun: Serina

KENANGAN: Serina (barisan depan, tengah) merakam kenangan bersama peserta NPQEL siri pertama yang menjalani kursus di Institut Aminuddin Baki di Kuching, semalam.

KUCHING: Dianggarkan lebih 100 ketua sekolah di Sarawak akan bersara setiap tahun yang sekali gus membuka peluang kepada guru berkelayakan di negeri ini.

Pengarah Pendidikan Sarawak Serina Sauni berkata, bagaimanapun apa yang menjadi persoalan kini adalah untuk memilih calon ketua sekolah iaitu guru besar atau pengetua yang bukan sahaja berkelayakan tetapi berkualiti.

“Pada tahun ini (2015) seramai 17 pengetua yang bersara dan 97 guru besar juga sama dan ini menjadikan jumlah jawatan ketua sekolah pada tahun ini sebanyak 114 kekosongan.

“Tahun depan (2016) seramai 15 pengetua dan 109 guru besar pula bersara iaitu sejumlah 124 jawatan ketua sekolah ini kekosongan,” kata-nya berucap pada Program Pengarah Bersama Peserta-Peserta Kursus Kepimpinan NPQEL (Profesional Pe-mimpin Pendidikan Kebangsaan) di Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak di sini, semalam.

Tambah Serina bagi tahun 2017 pula, juga sejumlah 101 ketua sekolah akan bersara iaitu terdiri daripada 20 pengetua dengan 81 guru besar.

“Kita perlu menyediakan guru besar dan pengetua kita dengan pengetahuan serta kemahiran agar mereka ini dapat kekal bersaing selain menjadi ketua sekolah yang cemerlang.

“Di mana mereka ini perlu bersedia untuk memimpin serta mengurus agar sekolah serta pelajar yang dipimpin mendapat manfaat selain mempertingkatkan karier mereka sebagai ketua sekolah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Serina berharap khasnya kepada peserta NPQEL siri pertama ini supaya bersedia dan tidak menolak sekolah di mana mereka ditempatkan sebaik menerima surat lantikan nanti.

Sehubungan itu ujar Serina, sebagai permulaan, golongan pemimpin pelapis itu juga harus memulakan langkah yang betul dengan memahami keadaan atau persekitaran sekolah sebagai persediaan.

Beliau berkata untuk menjadi ketua sekolah yang cemerlang ia tidak hanya bergantung semata-mata melalui penyertaan kursus yang dianjurkan tetapi perlu mempunyai sasaran membangunkan sekolah.

Katanya ketua sekolah yang terdiri daripada pengetua dan guru besar tidak hanya perlu duduk dalam pejabat sebaliknya mengambil pe-luang dengan mengurus serta mengenali sekolah dalam masa 100 hari pertama.

“Ini kerana kursus enam bulan ini pastinya membantu anda menyediakan diri sama ada untuk memahami aspek sekolah, teori dan sebagainya selain sebagai peluang naik pangkat.

“Namun begitu ia mungkin belum mencukupi kerana sebagai ketua sekolah yang cemerlang anda perlu mempelajari dan memahami sekolah itu sendiri dengan lebih mendalam,” tegasnya.

NPQEL adalah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperkasakan pengurusan dan kepimpinan sekolah dengan menyediakan kelompok pemimpin pelapis sekolah bersedia memikul tanggungjawab.

Bagi ambilan 2015, secara keseluruhan peserta dari Sarawak menyertai program NPQEL adalah 100 orang iaitu 90 orang menyertai kursus di IAB Sarawak dan 10 orang lagi di Labuan.