Buaya disyaki baham Idris sudah dibunuh

1

DITAWAN: Buaya disyaki menyerang dan membunuh Allahyarham Idris yang berjaya ditangkap oleh SFC baru-baru ini.

SAMARAHAN: Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menangkap dan membunuh seekor buaya disyaki menyerang dan membunuh seorang nelayan tempatan, Allahyarham Idris Yakup awal bulan ini.

SFC Swift Wildlife Action Team (SWAT) telah dikerahkan ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Seluruh operasi mencari yang membawa kepada penangkapan buaya yang disyaki itu mengambil masa seminggu dan meliputi kawasan kira-kira lima kilometer persegi.

Menurut kenyataan akhbar, Ketua Pegawai Eksekutif SFC memaklumkan pihaknya menggunakan kaedah cangkuk dan tali bagi menarik buaya pelaku berpotensi dengan sejumlah 10 baris cangkuk diletakkan di sepanjang tebing sungai tempat kejadian berlaku.

“Tebing sungai ini juga didapati menjadi sarang buaya dan pembiakan buaya semasa operasi yang mana sekurang-kurangnya 10 buaya dewasa dilihat berada dalam parameter operasi kami.

“Justeru, penduduk dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berada di sungai dan kita juga akan memasang papan tanda amaran buaya di sepanjang tebing sungai ini,” katanya.

Selain itu, peningkatan penduduk dan buaya juga dilihat menimbulkan konflik yang mana kedua-duanya bersaing untuk penggunaan sumber sama yang terhad.

Bagi mengurangkan konflik ini, SFC kini sedang menjalankan ‘State Wide Crocodiles Population Survey’ di semua lembangan sungai utama di negeri ini bagi menentukan populasi buaya dan kawasannya.