Budak mati lemas selepas jatuh sungai

0

KOTA SAMARAHAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun mati lemas di sungai selepas dikatakan terjatuh ketika menunggu ibu bapanya mengumpul barangan terpakai petang kelmarin.

Difahamkan, insiden dilaporkan berlaku di Kampung Plaie ketika keluarga kanak-kanak malang itu tiba di kampung berkenaan dengan menaiki sebuah sampan untuk mengumpul barangan terpakai dari tempat pembuangan sampah di situ.

Menurut bapa tiri mangsa, ketika itu dia dan isterinya pergi ke tempat pembuangan sampah tersebut dan meninggalkan anak mereka bersama enam lagi ahli keluarganya di dalam sampan berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa minit kemudian mereka terkejut apabila mendengar jeritan mengatakan anak mereka iaitu Mohd Azril Firdaus Adam telah terjatuh ke dalam sungai.

“Saya terus terjun ke dalam sungai bersama isteri untuk menyelamatkan anak kami, namun gagal menemuinya kerana keadaan arus yang agak deras sehingga beberapa minit kemudian baharu kami menjumpainya,” katanya.

Mereka kemudian segera mengejarkan anak mereka itu ke klinik berhampiran, namun dia disahkan meninggal dunia selepas itu.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk upacara pengebumian.