KGBS bantah cadangan merotan sebagai jenayah

0

KUCHING:  Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) membantah sepenuhnya cadangan merotan sebagai satu kesalahan jenayah dalam akta baharu yang digubal bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001.

Presiden KGBS Ahmad Malie berkata ini kerana perkara berkenaan bukan sahaja dikhuathiri akan membabitkan ibu bapa bahkan memberi kesan kepada guru.

“Dari sudut guru, KGBS melihat cadangan ini akan menjerat guru-guru sekiranya ia diluluskan.

“Walaupun guru telah dilarang merotan murid-murid namun sebagai manusia biasa kemungkinan guru terjerat di samping menimbulkan kesan lain dalam perkhidmatan seseorang guru,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Ahmad berkata, kesatuan dengan itu menggesa kerajaan mengkaji implikasi cadangan itu sedalamnya sebelum akta dilaksana dan dikuatkuasakan kelak.

Tambah beliau bukan itu sahaja, kesatuan turut membantah cadangan kerana mengambil kira bantahan masyarakat serta kesan kemudian hari.

Selain itu katanya Malaysia sebuah negara yang mempunyai perbezaan dengan negara lain dalam kebanyakan perkara.

“Sebagai sebuah negara berdaulat kita mengamalkan peraturan dan undang-undang lebih berteraskan kepada ajaran agama serta budaya setiap kaum di negara ini.

“Walaupun kita terdiri daripada berbilang kaum namun saya percaya tanggapan mereka tentang fungsi merotan khususnya terhadap anak-anak adalah sama.

“Di mana rata-rata ibu bapa tidak bersetuju dengan cadangan merotan disifatkan jenayah,” tegasnya.