KPM digesa hantar guru mengajar Bahasa Inggeris berkursus

0

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa menghantar guru tempatan yang mengajar Bahasa Inggeris (BI) berkursus sama ada di dalam atau luar negara.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata ia sebagai alternatif kepada usaha menempatkan guru dari Amerika Syarikat (AS) di sekolah di Sarawak.

Menurutnya usaha me-nempatkan guru dari AS di bawah program Pembantu Pengajaran Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright memang langkah baik untuk mempertingkatkan kelebihan penguasaan dalam bahasa Inggeris.

“Bagaimanapun dengan melatih guru-guru BI tempatan, KGBS yakin dan percaya impak jangka panjang dalam usaha meningkatkan pe-nguasaan murid dalam bahasa Inggeris lebih berkesan.

“Malahan guru-guru ini lebih memahami budaya belajar pelajar mengikut kaum tertentu yang ada di negara ini,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Baru-baru ini sebanyak 15 sekolah menengah di seluruh Sarawak bakal mendapat manfaat daripada guru warga AS di bawah program ETA Fulbright bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Ahmad berkata ia satu langkah baik kerana penutur jati secara langsung dapat bersemuka dan akan membantu pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris.

“Namun begitu, KGBS menggesa kerajaan khususnya Kementerian agar tidak terlalu bergantung kepada guru-guru import dari luar negara seperti ini dan menggunakan khidmat mereka secara berterusan.

“Jika dilihat dari segi kos kewangan, sudah pasti melatih guru-guru BI tempatan dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan khususnya kementerian,” tegasnya.

Beliau berkata dalam hal berkenaan yang sudah dilaksanakan, ia tidak bermakna KGBS menolak usaha ber-kenaan.

Namun katanya, di samping menggunakan khidmat guru AS itu, kerajaan juga perlu mempersiapkan kepakaran tempatan untuk tujuan jangka panjang.