Royalti minyak: Abang Johari enggan ulas kenyataan Dr M

1

KUCHING: Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg enggan mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu royalti minyak di Sarawak.

Menurutnya, beliau tidak akan mengulas buat masa ini kerana rundingan masih dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bersama jawatankuasa yang telah dilantik.

“Biarlah mereka membuat keputusan, saya tidak mahu mengulas lanjut kerana takut ia boleh menjejaskan rundingan.

“Saya lebih suka tidak mengulas tetapi apa yang beliau (Dr Mahathir) katakan hanyalah cadangan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ejen Bioremediation KEEN untuk Malaysia dan Brunei, PJ Energy Services (M) Sdn Bhd di BCCK di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu semasa menyampaikan ucaptama pada Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2015, kelmarin.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir yang merupakan penasihat Petronas memberitahu, Sarawak boleh meminta untuk meningkatkan royalti minyak daripada lima peratus seperti sekarang tetapi 20 peratus adalah terlalu banyak.

Ketika diminta menjelaskan mengapa beliau berasakan permintaan negeri ini sebanyak 20 peratus adalah terlalu tinggi, Dr Mahathir berkata: “Itu hanyalah cadangan saya kerana harga minyak semakin menurun dan kerajaan persekutuan mendapat wang yang kurang daripada Petronas.”