Bangunan PIBAKIS perlu RM2.15j siap sepenuhnya

0

MIRI: Pembinaan bangunan baharu Persatuan Ibu Bapa Kanak-Kanak Istimewa (PIBAKIS) di Lutong dijangka siap lebih awal daripada jadual tetapi ia masih kekurangan kos sebanyak RM2.15 juta.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Projek Datuk Hii King Chiong meminta kerjasama masyarakat setempat supaya menghulur sumbangan bagi menjayakan projek tersebut.

“Projek itu kini siap 75 peratus tetapi masih memerlukan bantuan kewangan bagi menyiapkan bangunan serta melengkapkannya dengan pelbagai kemudahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meletak kain merah di atas bangunan terbabit sebagai tanda keberkatan mengikut tradisi masyarakat Cina petang semalam.

Sementara itu, Presiden PIBAKIS Chiam Yun Chaw memberitahu bahawa pusat baharu yang bernilai RM5 juta itu dijangka siap Julai tahun ini.

“Bagaimanapun, pihak kontraktor menyakinkan kami bahawa mereka boleh menyiapkan projek ini awal daripada jadual pada bulan Jun jika kos mencukupi.

“Justeru, sumbangan daripada masyarakat setempat juga amat dialu-alukan supaya impian kanak-kanak di sini tercapai,” katanya.

Jelas beliau, PIBAKIS pada masa ini ditempatkan sementara di Kem Piasau bagi menjalankan program PDK untuk lebih 200 kanak-kanak namun dalam keadaan kurang selesa.

Kata Chiam, kos bagi pusat baharu itu tinggi kerana bangunannya dibina bagi memenuhi keperluan kanak-kanak.

“Ia bertujuan membantu mereka kurang upaya pembelajaran (PLD) dengan melatih kemahiran asas bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan pada masa akan datang,” katanya.

Tingkat bawah pusat itu menempatkan pejabat am, dapur, ruang makan, dewan serba guna, bilik terapi Snoezelen, bilik SI, bilik fisioterapi, bilik kraf dan tujuh bilik darjah.

Manakala tingkat atas adalah bilik persidangan, bilik perubatan, bilik kaunseling, bilik IT, perpustakaan permainan, bilik jawatankuasa, tiga bilik darjah dan bilik stor.

Mereka yang ingin mengetahui lanjut berhubung projek terbabit atau aktiviti yang dijalankan di PIBAKIS, boleh melayari laman sosial Facebook di bawah nama PIBAKIS MIRI.

Sementara mereka yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh menghubungi Chiam di talian 016-8513373.