Dadah: Empat lagi suspek penagih dicekup

0

TANGKAP: Keempat-empat lelaki yang disyaki penagih dadah ditahan untuk siasatan lanjut.

Polis Padawan lancar serbuan di Kampung Haji Baki berikutan maklumat orang awam

Oleh Jeremy Lanson //

PADAWAN: Empat lagi lelaki disyaki penagih dadah berjaya diberkas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dalam satu serbuan kelmarin.

Menurut jurucakap polis, serbuan yang diketuai Inspektor Jason Baya itu dilakukan ke atas sebuah rumah di Kampung Haji Baki berpandukan maklumat yang diterima daripada orang awam sekitar jam 9 pagi.

Hasil serbuan, polis berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia sekitar 18 hingga 48 tahun serta merampas tiga peket lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine.

“Pemeriksaan badan suspek telah menjumpai tiga peket lutsinar berisi ketulan kristal yang disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine dianggarkan sebarat 0.61 gram,” katanya.

Kesemua suspek kemudian dibawa ke IPD Padawan dan disahkan positif Meth/Amp dalam ujian air kencing.

“Suspek juga masing-masing tidak memiliki pekerjaan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” kata jurucakap polis lagi.

Sehingga berita ini ditulis semalam, keempat-empat suspek masih ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan Satok untuk siasatan lanjut.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih daripada lima tahun, denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Polis selain itu turut menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah dengan menghubungi terus kepada Pejabat JSJN IPD Padawan menerusi talian 082-862640.