Hilux hilang pada 2014 ditemui semula semalam

0

LAWAS: Polis Lawas berjaya menemui semula kereta pacuan empat roda jenis Hilux berwarna putih yang dilaporkan hilang di Miri tahun lepas di Jalan Sloating, berhadapan Kedai Semadoh Enterprise, Lawas pagi semalam.

Terdahulu pada jam 10 pagi semalam, kereta tersebut ditemui dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan oleh sepasukan anggota trafik.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata setelah melakukan semakan, kenderaan itu didapati telah dilaporkan hilang di Miri tahun lepas.

“Suspek berusia 50 tahun berasal daripada Long Balang Ulu Baram yang memandu kereta itu kemudiannya dibawa ke balai bersama kenderaan berkenaan. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,”ujarnya.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 21 tahun dari Kampung Pangi di sini dicekup pagi semalam kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Abang Zainal berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Lawas diketuai Inspektor Zulpaka di belakang sebuah bengkel kereta di Jalan Masjid Baru Lawas sekitar jam 9.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas badan suspek, kita menjumpai satu bekas plastik berwarna biru bertulis ‘eclipse mints’ yang di dalamnya mengandungi 20 keratan straw berwarna merah jambu, dua keratan straw berwarna biru muda dan enam keratan straw berwarna hijau muda yang disyaki mengandungi dadah syabu,” jelasnya.

Abang Zainal menjelaskan, semua barang kes dijumpai di dalam beg pinggang berwarna coklat tertera ‘FU TE JIA’ yang diserahkan sendiri oleh suspek.

“Anggaran berat kasar barang kes ialah 4.3 gram. Suspek kemudiannya dibawa ke pejabat narkotik dan hasil ujian saringan awal polis juga mendapati suspek positif Meth/Amp,” ujarnya lagi.

Kes tersebut, katanya, akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

 

lbg-ub290115-dm-kereta curi, dadah-p1

DITEMUI SEMULA: Kereta jenis Hilux yang dilaporkan hilang dijumpai semula semalam.