MASwings menyasar RM10 juta hasil X-FARES

0

TERBAIK: Ritzerwan (kiri) dan Shauqi memberi pos istimewa pada sidang media mengenai MASwings ‘The New Beginning’

Ia adalah sasaran hasil jualan tiket sepanjang tempoh promosi bermula semalam hingga 23 Jun 2015

Oleh Patricia Gari //

KUCHING:MASwings, anak syarikat MAS menyasar memperoleh RM10 juta hasil jualan tiket penerbangan sepanjang tempoh promosi X-FARES yang bermula semalam hingga 23 Jun 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kapten Ritzerwan Rashid berkata promosi X-FARES itu merupakan sebahagian program MASwings dikenali ‘The New Beginning’ yang akan dilancarkan hari ini di Tebingan Kuching.

Beliau berkata program itu juga bertujuan meningkatkan jumlah penumpang sebanyak 10 peratus tahun ini iaitu 1.8 juta berbanding 1.6 juta tahun lalu.

Katanya lagi purata penumpang yang menggunakan penerbangan MASwings sebulan ialah 130,000 orang.

“MASwings ‘The New Beginning’ diadakan khas untuk kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan setia kami khususnya rakyat Sabah dan Sarawak yang terus memberi sokongan kepada syarikat ini sejak mula beroperasi (Oktober) 2007.

“Sempena sambutan itu, MASwings juga menawarkan promosi X-FARES yang membolehkan penumpang melakukan perjalanan sehala ke 19 laluan domestik dengan hanya RM80,” katanya pada sidang media mengenai sambutan ‘The New Beginning’ MASwings di sini semalam.

Menurut Ritzerwan, laluan yang terlibat ialah dari Kuching ke Bintulu, Sibu, Miri, Mulu dan Kota Kinabalu dan laluan dari Kota Kinabalu ke Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Labuan.

Tambang murah itu turut diaplikasi bagi laluan dari Miri ke Kota Kinabalu, Kuching, Mulu dan Labuan untuk sepanjang tempoh promosi dengan tempoh penerbangan dari 6 Februari hingga 30 Januari 2015, tambahnya.

Katanya pada majlis pelancaran yang akan bermula jam 7 malam itu juga, MASwings akan memperkenalkan baju seragam bagi kakitangan di lapangan yang menekankan warna hijau.

“Ini menunjukkan pertumbuhan dan bermulanya usaha MASwings memperkukuhkan amalan khidmat pelanggan kami dan pada masa sama merangkumi semangat Malaysia serta memastikan pelanggan sentiasa berasa selesa dan selamat sepanjang bersama kami,” katanya.

Beliau juga yakin dengan penambahan frekuensi penerbangan domestiknya, akan membantu MASwings memperluaskan skala pasaran domestiknya yang secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut mengenai majlis pelancaran MASWings ‘The New Beginning’, Ketua Pegawai Komersialnya Shauqi Ahmad memberitahu bahawa ia akan dirasmikan bersama oleh Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Menteri Pelancongan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Menurutnya majlis pelancaran itu merupakan acara besar-besaran sebagai meraikan kejayaan MASwings sebagai pilihan utama pelanggan melakukan penerbangan domestik di Sabah dan Sarawak.