Pasar Gong Xi Fa Cai berjaya tarik peniaga Bumiputera

0

MIRI: Sambutan terhadap pasar Gong Xi Fa Cai di pekarangan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina (DPCI) Miri begitu menggalakkan terutama daripada kalangan peniaga Bumiputera.

Pengerusi DPCI Lee Khoi Yun memberitahu, peniaga akan ditempatkan di zon perniagaan Bumiputera yang terdiri daripada lebih 60 gerai pelbagai jenis makanan, minuman termasuk pelbagai produk jualan lain.

Katanya, satu pertiga daripada 260 gerai terlibat adalah milik peniaga Bumiputera.

“Penyertaan mereka menambah pilihan produk jualan dan tarikan pengunjung ke bazar kami,” jelas beliau semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bazar Gong Xi 2015 di DPCI semalam.

Lee memberitahu, bazar sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) itu akan bermula 1 Februari hingga 18 Februari, dibuka dari pagi hingga tengah malam.

Gerai yang terletak di tambak Jalan Raja beroperasi bermula 1 Feb sementara gerai berkanopi di Jalan Raja dan High Street beroperasi bermula 13 Februari.

“Bermula 10 Feb, Jalan Raja dan High Street juga akan ditutup bermula jam 8 malam untuk kerja pemasangan kanopi,” jelasnya.