Pencuri kabel dicekup tidur dalam semak

0

DITAHAN: Suspek curi kabel (tengah) dibawa ke balai
untuk tindakan lanjut.

SIBU: Insiden kebakaran semak berdekatan Jalan Persiaran Brooke di sini semalam membawa kepada penangkapan seorang suspek pencuri kabel ketika dia sedang tidur di dalam semak di kawasan berdekatan.

Suspek berumur 20-an itu berjaya diberkas polis ketika dipercayai menunggu proses peleburan logam di dalam kabel selesai.

Orang awam yang ternampak kepulan asap hitam di kawasan semak itu menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Namun, apabila polis peronda tiba di lokasi, mereka menemui seorang lelaki sedang tidur bersama dua beg mengandungi logam yang telah diasingkan daripada kabel.

Suspek dipercayai mencuri kabel dari sebuah stor di tingkat satu sebuah bangunan berdekatan.

Dia dikatakan telah memanjat masuk ke dalam stor tersebut sebelum membawa muatan turun melalui tangga ke pintu geriji tingkat bawah yang berkunci sebelum memanjat keluar dari premis itu.

Suspek kemudian menarik kabel itu dari luar pintu jeriji sebelum memasukkannya ke dalam dua buah beg.

Menurut sumber, suspek membawa beg itu ke satu kawasan semak kira-kira 200 meter dari situ sebelum melakukan proses pengasingan logam dan kabel dengan menggunakan kaedah pembakaran.

Bagaimanapun, hasrat suspek untuk menikmati hasil logam tersebut tidak kesampaian apabila dia dicekup pasukan polis peronda ketika sedang tidur di dalam semak.

Polis kemudian membawa suspek ke balai bersama barangan curi tersebut.

Sehubungan itu, pemilik premis menjual besi buruk dinasihat untuk mendaftarkan perniagaan mereka kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha membendung kes curi kabel di bandar ini.

Setakat ini, hanya sebuah premis menjual besi buruk mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan tersebut, manakala lebih 20 yang lain beroperasi tanpa lesen.

Untuk rekod, menerusi Ops Lusuh polis berjaya merampas kabel curi dalam dua serbuan yang dilancarkan ke atas dua premis menjual besi buruk sejak awal bulan ini.

Polis dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) juga dijangka menganjurkan satu taklimat mengenai cara memohon lesen kepada pemilik premis menjual besi buruk di kawasan ini.

Pemilik premis menjual besi buruk juga diminta mendapatkan butir-butir pelanggan sebagai satu langkah pencegahan jual beli barangan curi.