Sarawak dijangka terima kemudahan komersial PFLNG1

0

KEMUDAHAN TERBAHARU: Tun Taib mendengar taklimat mengenai PFLNG1 daripada Pengurus Besar Petronas Wilayah Sarawak Shamsur Taha (dua kiri) semasa lawatan pameran di BCCK, semalam. Turut kelihatan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani (dua kanan) dan Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh (tiga kanan).

KUCHING: Sarawak dijangka menerima kemudahan komersial pertama di dunia dalam industri minyak dan gas iaitu kemudahan Gas Cecair Asli Terapung Petronas 1 atau PFLNG1, menjelang hujung tahun ini.

Dengan tibanya kemudahan itu di Malaysia menerusi subsidiari yang dimiliki sepenuhnya Petronas Floating LNG 1 (Labuan) Ltd, bakal menembusi sempadan baharu dalam pengeluaran LNG, bagi pesisiran pantai negeri ini.

Kemudahan yang juga dijangka memulakan operasi awal tahun depan itu memiliki kapasiti 12 juta tan setahun (mtpa) dengan sasaran akan ditauliahkan di Medan Kanowit (Kanowit Field), iaitu 180 km pesisir pantai Bintulu.

Petronas percaya apabila PFLNG1 beroperasi nanti, ia dijangka mengubah landskap perniagaan LNG.

Kemudahan sedemikian akan membuktikan bahawa pencairan, pengeluaran dan proses pemunggahan LNG, dahulu hanya dapat dilakukan di loji-loji atas pantai, dapat dijalankan ratusan kilometer dari darat dan lebih dekat dengan sumber gas luar pantai.

Matlamat utama kemudahan itu dikatakan untuk mendapat faedah kewangan daripada medan gas yang terkandas seperti Medan Gas Kanowit di pesisiran pantai Sarawak yang diklasifikasikan sebagai ‘medan coklat’.

Menurut risalah yang diedarkan kepada media, saiz badan PFLNG1 adalah 300 meter panjang, 60 meter lebar dan 33 meter dalam.

Kepanjangannya dikatakan sepanjang tiga padang bola sepak manakala kedalamannya dilaporkan setinggi tingkat bawah sehingga aras 75 Menara Berkembar Petronas.

Model PFLNG1 itu semalam dipamerkan sempena Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2015 di ruang pameran Petronas di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Model yang dipamerkan turut menjadi perhatian Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semasa mengadakan lawatan ke pameran IEW 2015 sebelum menghadiri majlis makan tengah hari bersama pempamer.