Usaha diperhebat

0

RAMPAS: Roslan (tengah) bersama para pegawai penyiasat menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam dua serbuan tersebut.

BERBAHAYA: Antara ganja yang dirampas daripada suspek.

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching memperhebatkan usaha memerangi aktiviti pengedaran dadah dengan lima lagi individu ditahan dan berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah ACP Roslan Bek Ahmad berkata, kesemua suspek termasuk seorang wanita ditahan dalam dua operasi berasingan di sekitar bandar raya ini sejak petang kelmarin hingga awal pagi semalam.

Menurutnya, daripada kedua-dua operasi tersebut, pihaknya merampas dadah jenis ganja dianggarkan seberat 1.42 kilogram (kg), 15 biji Eramin 5 dan syabu seberat 0.15 gram dengan anggaran nilai RM357,450.

“Serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah rumah di Taman Siol, Jalan Bako di mana dua suspek termasuk seorang wanita berusia 29 tahun ditahan selepas pihak polis berjaya menemui dadah jenis ganja dianggarkan seberat 1kg bernilai RM250,000 dari rumah berkenaan.

“Manakala, serbuan kedua iaitu ke atas sebuah rumah di Taman BDC Stampin pula berjaya menahan tiga lelaki berusia 21, 28 dan 36 tahun kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Hasil serbuan telah menemui sejumlah dadah iaitu ganja dianggarkan sebarat 0.42kg, 15 biji Erimin 5 dan 0.15 gram dadah jenis syabu bernilai sekitar RM107,450,” kata Roslan.

Difahamkan, kesemua suspek didapati positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC), kecuali suspek wanita.

Menurut Roslan lagi, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 6 ADB 1952, Seksyen 15(1)1(a) ADB 1952 dan Seksyen 12(2)ADB 1952.

“Suspek jika sabit kesalahan akan dihukum mati mandatori di bawah Seksyen 39B ADB 1952, denda tidak melebihi RM20,000 atau panjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 6 ADB 1952.

“Manakala, di bawah Seksyen 15(1)1(a) ADB 1952, suspek jika sabit kesalahan akan didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun.

“Bagi Seksyen 12(2)ADB 1952 pula, suspek akan didenda tidak melebihi RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas Roslan.

Sehingga berita ini ditulis semalam, kesemua suspek ditahan reman sehingga 5 dan 7 Februari untuk siasatan lanjut.