Wanita maut dalam nahas jalan raya Bintulu-Miri

0

BINTULU: Seorang wanita maut apabila kenderaan yang ditumpanginya terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Pesisir Bintulu-Miri, malam kelmarin.

Balai Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu menerima panggilan kecemasan pada jam 7.59 malam daripada orang awam seterusnya memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju.

Lima anggota bomba bersama sebuah jentera tiba di lokasi kejadian pada jam 8.04 malam yang jauhnya lima kilometer.

Menurut sumber, penumpang van yang maut di tempat kejadian merupakan seorang wanita.

Manakala, dua lagi mangsa lelaki dari kedua-dua kenderaan itu hanya mengalami kecederaan.

Anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit dalam dua kenderaan berkenaan.

Operasi menyelamat mangsa itu diketuai Pegawai Bomba Kanan II Akin Gramong.

Semua mangsa telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut dan punca kemalangan masih dalam siasatan polis.