Kontraktor gagal siap BELB bakal disingkir

0

Kegagalan siapkan projek diamanah jejas imej kerajaan di mata rakyat: Awang Tengah

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Kerajaan negeri mahu kontraktor yang gagal menyiapkan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) mengikut tempoh ditetapkan supaya ditamat perkhidmatan, kata Menteri Perancangan Sumber Alam Sekitar Kedua merangkap Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Jelasnya, kegagalan kontraktor itu boleh menjejaskan imej kerajaan yang bertanggungjawab mengenai projek BELB untuk rakyat.

“Oleh kerana masalah ini, sehingga kini terdapat 87 projek lewat siap dan 84 projek berstatus tenat. Semua projek ini dilaksana syarikat dilantik secara langsung oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berdasarkan kaedah ‘Design & Build’,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan projek BELB bagi Rumah Akul Dayang, Rumah Bunsi Tiboh, Rumah Juki Sibat dan Rumah Kelak Nuda di kawasan Salim Belalang yang berlangsung di Rumah Bunsi, Jalan Salim-Belalang di sini, semalam.

Awang Tengah menjelaskan, jumlah itu adalah tinggi dan kerajaan negeri telah mengemukakan usul kepada kerajaan pusat supaya kontrak kontraktor tersebut ditamatkan.

“Kontraktor seperti ini membuatkan penduduk luar bandar tertunggu-tunggu menyebabkan ramai menyalahkan kerajaan sedangkan peruntukan sudah disedia kerajaan,” katanya sambil mendedahkan bahawa kerajaan mempunyai sebanyak 1,235 projek BELB yang dilaksanakan di negeri ini setakat 2009.

Menurut Awang Tengah, pihaknya sudah mempunyai senarai syarikat terlibat yang disarankan kepada kerajaan pusat untuk tindakan lanjut.

Jelasnya yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, punca kelewatan projek disebabkan ketidakupayaan kontraktor menyiapkan amanah itu sehingga selesai.

“Selain itu, kelewatan juga disebabkan sesetengah penduduk menuntut pampasan bagi tanah terlibat pelaksanaan projek sedangkan sepatutnya ia tidak melibatkan sebarang tuntutan pampasan,” jelasnya.

Sementara itu, bercakap lanjut mengenai projek tersebut, ia melibatkan empat rumah panjang yang membabitkan 81 pintu atau rumah yang menelan kos sebanyak RM2.81 juta.

Awang Tengah berkata, kos sepintu atau sebuah rumah adalah sebanyak RM34,691.36.

“Projek ini dilaksana sejak 2 Ogos 2010 dan siap pada 28 Mei 2013 dan ia dilaksanakan oleh kontraktor Esawin Resources Sdn Bhd,” jelasnya.

Bercakap mengenai kawasan di Parlimen Lanang dan DUN Dudong, beliau berkata, sebanyak 477 rumah dengan kos kira-kira RM14 juta telah dilaksanakan melalui projek BELB ini.

Kerajaan persekutuan, katanya, telah memperuntuk sebanyak RM2 billion untuk projek BELB di seluruh negara.

“Sejak bermulanya program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebanyak 50,501 rumah dibekalkan elektrik. Sasaran kementerian ialah membekalkan 100 peratus bekalan elektrik seluruh negeri ini pada penghujung tahun 2020.

“Setakat ini liputan BELB seluruh negeri sebanyak 84 peratus sahaja,” katanya sambil memberitahu projek BELB ini dibiayai dan dilaksana oleh KKLW.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar merangkap Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Tetap Kementerian Kemudahan Awam Sarawak Ubaidillah Abdul Latip, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee, Pemangku Residen Bahagian Sibu Sapiah Daud dan Tuai Rumah Bunsi.