MBMB sasar kutip RM86 juta cukai taksiran tahun ini

0

MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyasarkan kutipan cukai taksiran sebanyak RM86 juta tahun ini berbanding RM84 juta yang dikutip pada tahun lepas.

Datuk Bandar Melaka, Datuk Zainal Hussin berkata bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai MBMB meminta semua pihak menjelaskan cukai taksiran mereka terutamanya yang tertunggak.

Bagaimanapun sekiranya mereka gagal untuk menjelaskan cukai taksiran itu tanpa sebab yang munasabah, MBMB akan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka sekiranya perlu.

“Kira-kira 2,000 kes mengenai rumah persendirian dan bangunan sejak 2006 yang lalu telah diambil tindakan undang-undang sedang menunggu perbicaraan mahkamah.

Saya juga berharap warga bandar raya dapat membantu untuk membayar cukai supaya kita dapat gunakan wang ini untuk memberi perkhidmatan kepada pembayarcukai”, katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan MBMB di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata MBMB juga akan mengambil tindakan undang undang termasuk mereka yang membuang sampah merata-rata dengan mengenakan kompaun maksimum sebanyak RM100.

“Saya meminta semua warga Melaka untuk sama-sama menjaga kebersihan bagi melambangkan diri kita sebagai satu bandar raya maju dan kepada pelancong saya berharap supaya mengikut undang-undang seperti jangan merokok di tempat yangtidak dibenarkan, jangan buang sampah merata tempat”, katanya. — Bernama