N.Sembilan mahu pindah lokasi SMA Dato’ Klana Petra Maamor

0

SEREMBAN: Kerajaan negeri sedang mencari lokasi yang sesuai di sekitar daerah ini untuk menempatkan semula Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor yang lokasinya dilihat tidak strategik.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata lokasi sekolah tersebut yang terletak di tengah-tengah tempat kediaman dan kedai adalah tidak sesuai dan perlu dilihat semula.

“Kita mahu mengalihkan lokasi sekolah ini ke lokasi yang lebih sesuai yang mempunyai kemudahan apa yang perlu ada untuk sebuah sekolah kerana sekolah ini padang pun tiada.

“Kita juga minta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya pertimbangkan sekolah itu untuk dijadikan sekolah terpilih kerana prestasinya amat cemerlang,” katanya.

Mohamad berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman tambahan pendaftaran sekolah menengah agama negeri sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Persekutuan (SABK), di sini semalam.

Memorandum persefahaman itu menyaksikan Sekolah Menengah Agama Sains Selaru, Kuala Pilah, kini menjadi sekolah ke-16 di negeri ini menjadi SABK.

Memorandum persefahaman tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Selamat Paigo, Ketua Setiausaha KPM Tan Sri Dr Madinah Mohammad dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM Wan Ramdzan Wan Mamat.

Mohamad berkata dari 2008 hingga 2013, 15 SABK di negeri ini menerima peruntukan RM27.9 juta sebagai bantuan untuk naik taraf dan menyelenggara bangunan sekolah. — Bernama