Pelajar main syabu, curi telefon rakan

0

DICEKUP: Suspek (depan) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri sebaik tangkapan semalam.

MIRI: Polis yang menahan seorang pelajar tingkatan lima kerana didakwa mencuri telefon bimbit kawannya turut menjumpai satu peket plastik mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu, semalam.

Pelajar berusia 17 tahun itu ditangkap di sekolahnya pada jam 11.30 semalam selepas polis menerima aduan mengenai kehilangan telefon bimbit rakannya.

Terdahulu, menurut sumber pada petang sebelumnya, rakan suspek mendapati telefon bimbitnya jenis Samsung yang diletak di meja dapur rumahnya hilang.

Mangsa mengesyaki rakan sekelas yang datang ke rumah selepas waktu sekolah untuk melepak bersamanya mencuri telefon bimbit tersebut.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat mangsa pada petang kelmarin.

Bertindak atas maklumat diterima, polis pergi ke sekolah terbabit pagi semalam untuk menangkap suspek kerana disyaki mencuri.

Semasa tangkapan dibuat, polis yang melakukan pemeriksaan badan ke atas suspek menjumpai satu peket plastik mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis syabu di dalam poket seluarnya.

Selepas itu, suspek membawa polis ke sebuah rumah kosong di kuarters kakitangan kerajaan di kawasan Lambir untuk menunjukkan telefon bimbit yang disembunyikannya di situ.

Hasil siasatan awal polis mendapati suspek pernah terlibat dalam beberapa kes kecurian di kawasan kediamannya dan terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, suspek akan disoal siasat lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.