Penduduk setinggan Kpg Merikan diberi pampasan bina rumah baharu

1

MIRI: Kebanyakan bekas penduduk setinggan Kampung Merikan di Lutong telah berpindah ke kediaman baharu mereka di Tudan Desaras.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Piasau, Datuk Sebastian Ting berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) kerana melulus dan mempercepatkan permohonan penduduk mendapatkan tanah sendiri.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan pampasan dari syarikat pemaju kepada penduduk di pejabat SUPP Miri baru-baru ini.

“Setiap 69 keluarga menerima pampasan sebanyak RM5,000 daripada pemaju yang akan diguna meringankan perbelanjaan membina kediaman baharu,” jelasnya.

Ting memberitahu, sebahagian besar penduduk adalah dari kaum Iban dan Cina yang telah menetap di Kampung Merikan lebih 30 tahun.

Pada Jun 2012, penduduk telah menerima notis untuk berpindah dari syarikat pemaju.

Penolong Pegawai Penguatkuasa JTS, Mohamad Fauzi memberitahu, tujuh dari 69 keluarga tidak layak menerima lot di Tudan Desaras kerana didapati memiliki tanah sendiri di tempat lain.