Pusat tong sampah komunal selesaikan sampah haram Jalan Indah Satu Permyjaya

0

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan menyediakan pusat tong sampah komunal yang diharap dapat menyelesai masalah pembuangan sampah haram di Jalan Indah Satu Permyjaya.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perkhidmatan Bandaraya, Kaunselor Bruce Chai turut mencadangkan agar jumlah tong sampah ditambah supaya pembuangan sampah lebih teratur.

“Kita berharap dua cadangan ini akan dapat memberhentikan sepenuhnya gejala tidak sihat membuang sampah sesuka hati,” tegas beliau.

Katanya, pembuangan sampah haram di Jalan Indah Satu mendapat kritikan penduduk Miri khasnya pengguna laman sosial sejak minggu lalu.

Bruce berkata, beliau turut dimaklumkan mengenai masalah itu di Facebook dan bertindak membuat laporan di Talikhidmat pada Isnin lalu.

Pada Selasa, beliau ditemani Kaunselor Keith Chin melawat Jalan Indah Satu dan mendapati sebahagian besar sampah telah dibersih kakitangan pusat latihan keselamatan yang terletak berhampiran kawasan itu.

“Siasatan awal mendapati sampah sarap ini turut dibuang mereka dari pusat itu. MBM akan mengenakan saman dan denda atas tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan,” jelasnya.

Pada Khamis, syarikat kontraktor MBM telah membersihkan sepenuhkan sampah yang masih ditinggalkan.

Menurut Bruce, dari bukti kukuh, pihak berkuasa tidak harus gentar untuk mendakwa mereka yang bersalah.

“Dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perkhidmatan Bandaraya kelak, saya akan turut mencadangkan agar ganjaran ditawarkan kepada pemberi maklumat bagi membendung pembuangan sampah haram di bandaraya kita,” jelasnya.