Belia penyumbang kepada jumlah kemalangan maut

0

Oleh Florence Nervyn //

Negara kehilangan modal insan, alami kerugian ekonomi

SIBU: Golongan belia yang berusia 16 hingga 25 tahun merupakan penyumbang kepada satu per tiga daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.

Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Rahim Sebeli berkata hakikat itu menyedihkan kerana negara bukan sahaja mengalami kerugian ekonomi malah kehilangan modal insan berpotensi menyumbang kepada negara.

Tambah beliau, negara kehilangan lebih 6,000 nyawa akibat kemalangan jalan raya setiap tahun dan mendatangkan kerugian kepada negara lebih daripada RM8.3 bilion

“Jika merujuk kepada statistik pada 2013, keseluruhan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya seramai 6,915 orang dan mengambil kira asas pengiraan oleh MIROS iaitu satu kematian bersamaan nilai RM1.2 juta,” katanya pada Majlis Pelancaran Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (RSE) Sempena Program Khidmat Komuniti PLKN Peringkat Negeri Siri 12 Tahun 2015 di Kem PLKN Junaco Park, semalam.

Analisis trend terdahulu, Abdul Rahim berkata sekiranya tiada program keselamatan jalan raya menyeluruh dilaksanakan, dijangka terdapat 8,760 kematian akibat kemalangan jalan raya pada 2015.

“Angka ini mencecah 10,716 kematian pada 2020. Justeru itu, sekiranya kita beranggapan bahawa situasi pulih dengan sendirinya tanpa pendekatan intervensi diperkenalkan, kematian akibat kemalangan jalan raya dijangka meningkat sebanyak 56 peratus antara 2010 hingga 2020,” ujarnya.

Beliau memberitahu, penganjuran RSE di lapan kem PLKN di seluruh Sarawak amat bertepatan sekali dalam usaha memupuk kesedaran minda belia dan beliawanis lebih memahami serta menyemai budaya keselamatan jalan raya.

“Menerusi RSE, mereka akan lebih sedar dengan tidak memandang remeh atau mengabaikan pemakaian topi keledar, tali pinggang keselamatan hadapan dan belakang dengan alasan tiada pihak berkuasa atau perjalanan yang singkat,” jelasnya.

Abdul Rahim menasihati wira dan wirawati PLKN supaya mengamalkan budaya keselamatan jalan raya, bertolak ansur, mengikut peraturan agar matlamat negara untuk mencapai angka sifar kematian akibat kemalangan jalan raya dapat dicapai.

“Ingat, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama. Pandu Selamat, Tunggang Selamat, Jalan Selamat. Anda Mampu Mengubahnya,” kata beliau.

Hadir sama Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Davina Agnes Enteli, Komandan Kem PLKN Junaco Park Leftenan Kolonel Rusman Sanip, wakil Pengurus Besar Shell Sarawak Matthews Emban dan wakil PUSPAKOM, Benjamin Samuel Grik.