Cadangan empangan sungai melata mungkin tidak sesuai untuk Sarawak

0

KUCHING: Cadangan skim empangan sungai melata mungkin tidak sesuai dilaksanakan di negeri ini kerana ia tidak menghasilkan skala kuasa selamat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB) Datuk Torstein Dale Sjotveit, malahan ia tidak boleh berfungsi untuk kegunaan sepanjang tahun terutama pada musim kemarau.

Beliau memberitahu, ia juga tidak begitu memenuhi keperluan pembangunan di Sarawak dan tidak boleh disamakan dengan Eropah.

“Terdapat dua kelemahan dalam skim empangan sungai melata iaitu kos yang tinggi iaitu berganda selain ia hanya dapat berfungsi semasa musim hujan sahaja.

“Sebagai sebuah negara membangun, Sarawak perlu menyediakan tenaga yang menjimatkan kos dan menghasilkan elektrik yang boleh diharapkan dan berpatutan untuk menarik pelabur yang seterusnya akan menjana pembangunan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Apresiasi Media yang dihadiri Pemangku Pengerusi Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) Alice Wee dan Pengerusi Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Sulok Tawie di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam kelmarin.

Tambah Torstein, ia adalah pilihan terbaik untuk memajukan negeri ini dan menaikkan taraf hidup rakyat seperti yang dibayangkan menjelang tahun 2020.

“Elektrik berpatutan juga bermakna rakyat Sarawak akan terus menikmati tarif paling murah di Malaysia dan antara yang terendah di rantau ini.

“Selain penjanaan kuasa, empangan dapat memenuhi beberapa tujuan termasuk mitigasi (pengurangan) banjir. Menerusi pengurusan takungan air, impak daripada kejadian banjir di hilir sungai dapat dikurangkan,” katanya.

Selain itu, kata Torstein, ramai dalam kalangan masyarakat tidak menyedari bahawa empangan Bakun dan Murum memainkan peranan signifikan dalam mengurangkan impak banjir di hilir Sungai Rejang.

Antaranya sebagai bukti, kata beliau, Sibu tidak lagi mengalami banjir yang teruk seperti dahulu.

“Saya harap menerusi projek kuasa hidro lain yang kita rancang, kita dapat mengurangkan impak dan keseriusan banjir di seluruh Sarawak pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata SEB mengakui pembangunan kuasa hidro menyebabkan pemindahan penduduk, terutamanya di Sarawak di mana tapak optimum bagi empangan biasanya secara kebetulan adalah tempat di mana masyarakat Orang Ulu tinggal.

Namun pada waktu yang sama, menerusi penempatan semula yang diurus dengan baik, masyarakat didekatkan lagi kepada pendidikan, peluang ekonomi, perkhidmatan kesihatan, bekalan air, sistem jalan raya dan keperluan lain.

“Ini terbukti satu model pembangunan yang berjaya bagi banyak negara maju yang kini dicontohi Sarawak kerana kita memiliki potensi kuasa hidro yang begitu tinggi sekali,” tegas Torstein.