Dakwaan mungkin usaha sabotaj ekonomi

0

Tiada bukti sahih dalam surat KLM kemungkinan Malaysia diserang ISIS: Wan Junaidi

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Dakwaan yang terkandung dalam surat Royal Dutch Airlines (KLM) mengenai kemungkinan Malaysia diserang pengganas Negeri Islam Iraq dan Syria (ISIS) adalah tidak berasas kerana tiada bukti sahih.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tindakan tersebut juga berkemungkinan didalangi orang tempatan untuk mensabotaj ekonomi negara.

Malah, menurutnya, dakwaan syarikat penerbangan Belanda itu agak keterlaluan kerana menjatuhkan kredibiliti Malaysia selaku destinasi tumpuan pelancong.

“Dakwaan ini tidak juga menyatakan bukti aktiviti pengganas berlaku di Malaysia terutama ibu negara.

“Saya melihat perkara ini lebih kepada usaha menakut-nakutkan orang asing untuk melancong di Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata, kerajaan akan menyiasat perkara itu sama ada ia memang dilakukan syarikat penerbangan tersebut atau pihak lain.

“Kita masih menyiasat perkara ini, mungkin ia adalah permainan pihak lain yang berusaha menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat tempatan dan pelancong,” ujarnya.

Beliau turut mengecam tindakan tersebut yang disifatkannya sebagai usaha menghalang pelancong asing untuk memasuki Malaysia.

“Kita sedia maklum, 2015 merupakan Tahun Melawat Malaysia, ia mungkin salah satu cara menggugat sektor pelancongan negara,” jelasnya.

Dalam surat bertarikh 26 Januari, kru dan kakitangan dinasihatkan untuk menjauhi kawasan tumpuan ramai seperti pasar dan lokasi pilihan pelancong.

Surat itu turut menyebut kawasan pelancongan terutama Berjaya Time Square dan semua kawasan tumpuan pelancong yang lain perlu dielak.

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Timbalan Menteri Dalam Negeri