DAP gesa kaji, pantau khidmat polis bantuan bagi penduduk luar bandar

0

MIRI: Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Alan Ling menggesa untuk mengkaji dan memantau secara ketat perkhidmatan Polis Bantuan (AP) yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan khususnya syarikat-syarikat swasta perladangan.

Menurutnya, penambahan jumlah AP di kawasan perladangan didakwa mengancam dan menakutkan penduduk kampung yang tinggal di kawasan ladang terbabit.

“Oleh itu, saya menggesa Ibu Pejabat Bukit Aman khususnya mengkaji perkara ini dengan segera sebelum menjadi terus berleluasa dan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Bahkan, pakaian seragam AP dan kenderaan digunakan lebih kurang sama dengan pegawai polis yang sedia ada secara langsung boleh mengelirukan perbezaan antara mereka,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Sehubungan itu, Ling turut mempersoal syarikat swasta perladangan kenapa tidak menggunakan perkhidmatan pengawal keselamatan disediakan oleh syarikat keselamatan selain menggunakan khidmat AP.

“Ancaman dan ketakutan penduduk kampung adalah kerana menganggap mereka yang berpakaian seragam seperti polis adalah antara mereka yang mempunyai kuasa tempatan,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu berkata, kerisauan dan kebimbangan penduduk kampung khasnya mereka terlibat dalam kes Tanah Adat Hak Bumiputera (NCR) di kawasan ladang berkenaan.

Ling turut melahirkan kebimbangan pada masa akan datang penyalahgunaan perkhidmatan AP nanti menjejaskan persepsi dan imej anggota polis secara keseluruhannya.

“Selain itu, saya akan mengutarakan perkara ini kepada wakil Parlimen bagi dibentangkan pada persidangan Parlimen Mac depan,” katanya.