JPAM Sarikei dikerah bersiap sedia hadapi sebarang musibah

0

JULAU: Berikutan keadaan cuaca masih tidak menentu dengan situasi dikategorikan musim tengkujuh melanda negeri ini, semua anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Sarikei dikerah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan situasi kecemasan berlaku.

Pegawai Pertahanan Awam JPAM Sarikei, Mohamad Noor Amit berkata sejak Disember lalu JPAM Sarikei telah pun membuat persiapan rapi menghadapi kemungkinan kejadian bencana alam pada musim cuaca buruk di sini.

“Kita memberi tumpuan terhadap dua lokasi berisiko banjir iaitu Pakan dan Julau.

“Tumpuan diberikan berdasarkan rekod lampau di mana dua lokasi ini lebih kerap ditimpa banjir sebelum keadaan serupa melanda daerah lain,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, semua anggota sukarela itu bersedia dikerah pada bila-bila masa terutama bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

Tambahnya, buat masa ini seramai 10 anggota jabatan itu sudah ditempatkan di setiap daerah ini untuk menyelaraskan langkah-langkah perlu.

“Sekiranya keadaan mendesak, kita memohon bantuan keanggotaan seramai 60 orang anggota sukarela yang aktif dan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Pada masa ini, kita mempunyai seramai 60 anggota JPAM yang berdaftar dan cukup terlatih serta mampu dikerah pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga membuat persiapan dari segi logistik menempatkan sebuah bot, sebuah lori dan sebuah kereta pacuan empat roda bagi menghadapi banjir di Julau.

“Justeru itu, diharap agar anggota yang dikerahkan komited melaksanakan tanggungjawab ketika membantu lain-lain agensi kerajaan bagi menangani bencana alam di daerah ini,” katanya.