Kampung Santubong bakal menjadi pusat kecemerlangan sukan petanque

0

KUCHING: Kampung Santubong bakal menjadi pusat kecemerlangan sukan petanque sebaik Kompleks Sukan Petanque siap dibina sepenuhnya pada September 2015.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sejumlah RM5 juta bagi membina kompleks tersebut.

Beliau berkata, kelulusan juga sudah diberikan kepada Persatuan Petanque Sarawak (PPS) untuk menjadikan Kampung Santubong sebagai pusat latihan atlet-atlet Sarawak.

“Kompleks Sukan Petanque ini akan menjadi venue bagi Sukan Malaysia (SUKMA 2016) yang akan diadakan di Sarawak pada 2016.

“Selain itu, ia juga akan menjadi venue bagi kejohanan antarabangsa iaitu Kejohanan Petanque Peringkat Asian pada 2017,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Petanque (BAKSRI) Politeknik edisi kedua 2014/2015 di Dewan Serbaguna Kampung Santubong semalam.

Menurut Dr Abdul Rahman, kompleks tersebut akan menjadikan Kampung Santubong sinonim dengan petanque sambil berharap penduduk sekitar turut serta membantu mempromosi sukan itu dengan lebih giat.

Katanya, sukan yang berasal dari negara Perancis itu mudah untuk dimainkan dan siapa sahaja tanpa mengira peringkat umur boleh menyertainya.

“Tahniah kepada Politeknik Kuching kerana berjaya menganjurkan kejohanan itu untuk kali kedua dan berharap usaha mereka menjadikannya acara tahunan dapat dilaksanakan,” katanya.

Pertandingan Petanque (BAKSRI) Politeknik Siri ke-2 2014/2015 dianjurkan oleh Badan Kebajikan Sukan dan Rekreasi Politeknik Kuching Sarawak (BAKSRI) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial (KPS), Koperasi Politeknik Kuching Sarawak dan Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching.

Seramai 43 peserta lelaki dan 17 wanita memulakan saingan pusingan pertama dan kedua semalam dalam acara beregu lelaki dan wanita.

Acara final akan berlangsung hari ini dan Dr Abdul Rahman dijangka merasmikan penutupan kejohanan.

Bagi memeriahkan kejohanan tiga hari itu, penganjur turut mengadakan pertandingan mewarna, menganyam ketupat, karaoke, gubahan bunga, fesyen kanak-kanak dan persembahan kebudayaan.

Hadir sama Pemangku Pengarah Politeknik Kuching, Mohd Anwar Dris.