Kikis persepsi kemahiran pilihan kedua

0

SIMBOLIK: Len memalu gong sebagai tanda merasmikan Majlis Perasmian Modul Khidmat Komuniti Program Latihan Khidmat Negara dan Hari TEVT bagi Kumpulan 1 Peringkat Negeri Sarawak 2015 di Kem Latihan Khidmat Negara Putra Sentosa semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Rahamen, Hamsien dan Henry.

Tenaga kerja mahir menjadi tiang dan teras pembangunan sesebuah negara, kata Len

Oleh Sandy Mark Luna //

LUNDU: Komposisi pekerja berkemahiran tinggi masih rendah iaitu sekadar 23 peratus, meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkannya kepada sekurang-kurangnya 38 peratus menjelang 2015.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata, angka itu di negara ini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara lain seperti Singapura, Indonesia dan Thailand di mana tenaga kerja mahir sudah melepasi jumlah 35 peratus.

“Di negara-negara maju seperti Eropah, pendidikan teknikal dan latihan vokasional menjadi pilihan utama 60 peratus belia kerana ia mempunyai peluang kerjaya yang baik kerana selain mudah mendapatkan pekerjaan, gaji dibayar agak lumayan.

“Oleh itu, persepsi terhadap bidang pendidikan dan latihan kemahiran sebagai pilihan kedua hendaklah dikikis daripada pemikiran rakyat kerana tenaga kerja mahir yang menjadi tiang dan teras pembangunan dalam sesebuah negara khasnya dalam SCORE (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak ),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Modul Khidmat Komuniti Program Latihan Khidmat Negara dan Hari Latihan Teknikal dan Vokasional (TEVT) bagi Kumpulan 1 Peringkat Negeri Sarawak 2015 di Kem Latihan Khidmat Negara Putra Sentosa di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Zon J merangkap Komandan Kem PLKN Putra Sentosa Lt Kol Rahamen @ Abd Rahman Wok, Pengusaha Kem PLKN Putra Sentosa Henry Jinep dan Pegawai Daerah Lundu Hamsien Atar.

Len memberitahu, Sarawak memerlukan lebih ramai sumber manusia mahir kerana SCORE sahaja bakal menjana 1.3 juta peluang pekerjaan menjelang 2030.

Ini tidak termasuk yang kompeten dalam bidang industri utama seperti petro kimia, perkilangan, aluminium, gelas, perladangan, perikanan, akuakultur, pelancongan, pendidikan, pertanian, kesihatan, perkhidmatan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Justeru, katanya, wajarlah TEVT didedahkan kepada pelatih-pelatih PLKN yang merupakan belia dan lepasan sekolah agar mereka mengetahui terdapat banyak pilihan dan jalan untuk seseorang itu untuk belajar meskipun tidak mempunyai keputusan akademik cemerlang.

“Oleh itu, wira dan wirawati hendaklah merebut peluang disediakan ini dan keluar daripada pemikiran hanya ingin bekerja dengan kerajaan semata-mata.

“Saya juga ingin menyeru kepada semua belia untuk meningkatkan kebolehpasaran anda dengan mengikuti latihan dalam bidang kemahiran,” katanya.

Program TEVT adalah untuk menyebarkan maklumat-maklumat mengenai peluang-peluang pendidikan, latihan, kerjaya dan bantuan kewangan latihan yang ada serta bagi mengesan, menarik minat dan mendekati pelajar lepasan sekolah untuk mengikuti pengajian akademik atau latihan teknikal dan vokasional.

“Apabila mereka keluar dari PLKN diharap mereka dapat mengikuti latihan di Institusi Latihan Kemahiran Awam atau swasta yang ada di negeri masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Rahamen berkata usaha sama kerajaan negeri dan PLKN dapat diteruskan apabila ia dilaksanakan semula kelak.

Menurut beliau, hanya di Sarawak modul Khidmat Komuniti itu diuruskan kerajaan negeri manakala di negeri-negeri lain, ia adalah di bawah Jabatan Penerangan.

“Sebelum ini, Khidmat Komuniti diserahkan kepada Jabatan Penerangan tetapi kita mohon dan kemudiannya diluluskan agar kerajaan negeri yang menguruskan semula modul itu.

“Kita berharap, pelatih-pelatih di Sarawak guna kesempatan dari komitmen tinggi kerajaan negeri ini,” katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai penangguhan PLKN bagi menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM400 juta, Rahamen bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut.

“Perkara ini saya tidak dapat nak komen, kita tunggu kenyataan Ketua Pengarah (JLKN Datuk Mohmed Asri Yusof),” katanya.