Lelaki didakwa tipu gadis ‘pisau cukur’

0

BUKAN GAMBAR SEBENAR: Foto digunakan suspek dalam akaun WeChat.

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Hati seorang lelaki cair sehingga begitu mudah ditipu kira-kira RM88,000, hanya sekadar melihat kejelitaan, suara lunak dan janji manis gerangan di atas talian yang bertukar menjadi ‘pisau cukur.’

Episod pengenalan antara mereka berputik tujuh bulan lalu semasa mangsa, 36, kacukan Cina-Iban bermain satu permainan secara berkumpulan di laman sesawang.

Ketika itu, mangsa merupakan seorang mekanik jentera berat di sebuah kem pembalakan di Papua New Guinea sejak lebih tujuh tahun lalu.

Menurut mangsa, gadis berkenaan berbangsa Melayu berusia 24 tahun mengajaknya berhubung melalui WeChat sehingga mangsa mula jatuh hati dengannya.

Sejak itu, segala permintaan gadis tersebut ditunaikan sehingga sanggup mengeluarkan modal berjumlah RM42,500 untuk membantu gadis idamannya, kononnya berhasrat membuka sebuah perniagaan kedai kopi di Perak.

Menurut mangsa, dia mengirim wang tersebut melalui pemindahan wang ke satu akaun bank seperti diminta gadis itu.

Gadis itu sekali lagi meminta mangsa mengirimkan wang kerana jumlah diperlukan menjadi rakan kongsi perniagaan kedai kopi adalah RM100,000.

Mangsa sekali lagi melakukan pemindahan wang sebanyak RM18,000 ke dalam akaun seperti mana dinyatakan gadis itu.

Menurut mangsa, dia amat yakin dengan kata-kata gadis itu selepas memberitahu bahawa bapanya seorang pegawai polis, malah bercadang untuk berkahwin dengannya jika dia pulang ke Malaysia.

Mangsa berkata, dia mengirim wang sebanyak tujuh hingga lapan kali kepada gadis tersebut selain membeli hadiah berupa Samsung Note 10.1 berharga RM1,800 dan seutas jam tangan S.M Polo berharga RM600.

Menurutnya, kedua-dua hadiah tersebut diposkan ke satu alamat di Kampar, Perak.

Mangsa mula berasa curiga apabila gadis itu memberi pelbagai alasan untuk mengelak selepas dia menyatakan hasratnya untuk pulang ke tanah air melihat premis perniagaan kedai kopi yang dinyatakan, selain mengambil kesempatan berjumpa gadis itu.

Mangsa yang baharu pulang ke tanah air beberapa hari lalu turut hairan gadis itu seolah-olah terdesak memintanya mengirim wang RM5,000 sedangkan dia sudah berada di tanah air dan akan berjumpa dengannya.

Rahsia gadis idamannya mula terbongkar apabila dia gagal menghubungi nombor telefon bimbitnya.

“Saya mula sangsi dan berasa ditipu oleh gadis itu apabila nama ‘Fafau’ tidak lagi wujud dalam rangkaian WeChat,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis petang kelmarin selepas usaha menghubungi gadis itu gagal.

Menurut mangsa, dia hanya meminta polis membantunya membawa suspek itu ke muka pengadilan meskipun dia sudah kerugian puluhan ribu ringgit gara-gara penangan gadis ‘pisau cukur’ itu.