Masih ada masa untuk pasukan yang berminat sertai futsal terbuka Sibu

0

SIBU: Semua pasukan berminat menyertai Kejohanan Futsal Starsport Terbuka Sibu 2015 dijadual berlangsung pada 7 dan 8 Febuari ini diminta menghantar borang penyertaan dengan secepat mungkin.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA), Abdul Hajis Abdullah berkata pasukan berminat masih mempunyai masa lima hari menghantar borang penyertaan masing-masing.

“Setakat ini, sejumlah 60 borang penyertaan dikeluarkan oleh Lea Sports Centre,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kejohanan Futsal Starsport Terbuka Sibu 2015 dianjurkan SFA dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), KPS Sibu dan LEA Sports Centre (LCS) Sibu berlangsung di Dewan Serbaguna KPS, Jalan Bukit Lima di sini.

Menurut Abdul Hajis, kejohanan itu dibahagikan kepada kategori lelaki dan wanita terhad kepada 32 pasukan sahaja.

Katanya, mana-mana pasukan berminat diminta menghantar borang penyertaan awal dengan yuran penyertaan sebanyak RM200 bagi lelaki dan RM150 bagi wanita.

“Setiap pasukan diberikan lapan helai jersi untuk kegunaan sepanjang kejohanan,” jelas beliau.

Johan bagi kategori lelaki dan wanita akan menerima wang tunai RM500, piala dan pingat sementara naib johan menerima wang tunai RM300, piala dan pingat.

Wang tunai RM100, piala dan pingat pula masing-masing menanti pemenang tempat ketiga dan keempat kejohanan.

Juara kategori lelaki juga menerima baucar bernilai RM1,500, kedua RM1,000, ketiga dan keempat (RM500).

Selain itu, pemain terbaik perlawanan akhir dan penjaring terbanyak masing-masing menerima piala dan hamper.