Maut ditetak pekerja

0

TEMPAT KEJADIAN: Anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Pengusaha inap desa terbunuh dalam insiden samun bersenjata di Batu 13, Jalan Matang.

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Seorang pengusaha rumah inap desa terbunuh dengan kesan tetakan di kepala dalam satu insiden samun bersenjata yang didalangi pekerjanya sendiri, malam kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Yap Fui Lee berkata, mangsa Hii Nek Kah, 68, ketika kejadian bersama seorang rakannya berada di rumah inap desa tersebut di Batu 13, Jalan Matang sekitar jam 9 malam.

Menurut Yap, mereka pada mulanya didatangi dua pekerja mangsa yang memecah masuk pintu belakang rumah berkenaan dan terus menyerang mangsa dengan bersenjatakan objek tajam dipercayai parang.

BARANG KES: Kereta mangsa yang digunakan kesemua suspek untuk melarikan diri dari tempat kejadian.

“Rakan mangsa yang menyaksikan insiden tersebut segera menyelamatkan dirinya dengan mengunci pintu bilik sebelum keluar melalui tingkap serta terus menghubungi pihak polis untuk bantuan.

“Kesemua suspek selepas disyaki mengambil barang berharga milik mangsa termasuk wang tunai segera melarikan diri dari tempat kejadian dengan menggunakan kereta Toyota Prado milik mangsa.

“Mangsa yang cedera parah di kepala akibat ditetak, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, tindakan pantas polis akhirnya berjaya memberkas empat daripada lima suspek dalam satu sekatan jalan di Jalan Main Bazaar oleh anggota Balai Polis Sentral Kuching kira-kira dua jam kemudian.

“Anggota polis Kuching yang membuat rondaan telah menahan sebuah Prado yang dinaiki empat lelaki serta seorang wanita. Apabila hendak diperiksa seorang daripada lelaki terbabit terus melarikan diri.

“Keempat-empat mereka termasuk seorang wanita berusia sekitar 20-an kemudian ditahan dan usaha menjejaki seorang lagi suspek yang dipercayai berasal dari Kampung Buntal masih diteruskan,” kata Yap.

Menurut beliau, berikutan soal siasat awal, kesemua suspek mengaku melakukan jenayah tersebut bersama seorang lagi suspek yang masih bebas.

“Didapati suspek terlibat terus dengan melakukan samun dan bunuh bersama suspek yang masih bebas serta menggunakan kereta mangsa untuk melarikan diri ke tempat lain kerana takut diberkas polis.

“Barang kes iaitu sebilah parang dan sebatang kayu turut dijumpai,” jelas Yap.

Difahamkan, empat suspek yang ditahan berasal dari Kampung Sri Arjuna (Penrissen), Batang Lupar (Sri Aman), Jalan Sentosa (Sibu) dan Kampung Semerah Padi.

“Mereka (suspek) baharu sahaja bekerja dengan mangsa dan sebelum ini juga dikatakan sering mabuk di tempat kerja,” kata Yap yang tidak menolak kemungkinan suspek di bawah pengaruh alkohol semasa insiden tersebut.