Para peserta kursus/ujian teori pengadil diberi ‘lesen’

0

MIRI: Peserta Kursus/Ujian Teori dan Praktikal Pengadil Kelas III Peringkat Negeri Sarawak akan diberi ‘lesen’ serta boleh mengadili mana-mana perlawanan bola sepak.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (PBM), Mohammad Saif Jubaidi berkata lesen terbabit ialah sijil Pengadil Kelas III yang diiktiraf Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

“Dengan sijil ini, mereka boleh mengadili mana-mana perlawanan bola sepak anjuran agensi-agensi kerajaan, swasta atau pelbagai pertubuhan di negeri ini,” katanya di sini semalam.

Saif berkata, buat permulaan pengadil lulus ujian teori dan praktikal diberi peluang mengadili perlawanan bola sepak Liga Miri 2015 yang bermula Mac depan.

“Mereka sudah memiliki sijil yang diiktiraf oleh FAS, justeru langkah awal kita ialah melihat mereka beraksi mengendalikan perlawanan Liga Miri 2015 nanti,” ujarnya.

Saif berkata, Miri telah mencatatkan rekod jumlah pengadil meningkat sekali ganda berbanding sebelumnya iaitu lebih 60 orang bakal pengadil.

Kursus itu diadakan di seluruh Sarawak dan sambutan peserta dari Miri sangat memberangsang lebih-lebih lagi penyertaan kaum India dan Cina.

“Ini cukup membuktikan bahawa bidang pengadilan ini mampu dijadikan satu karier sampingan dan menjana pendapatan mereka,” katanya.

Sementara itu, kursus terbabit diadakan selama tiga hari dan disertai peserta dari jabatan kerajaan dan swasta dan dikelolakan oleh Pegawai Penbangunan Pengadil FAS, Marsid Dahalan.

Ia adalah anjuran bersama PBM, FAS, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Miri.