Penduduk minta pihak berkuasa ambil tindakan terhadap pemandu

0

MIRI: Penduduk kawasan Permyjaya mahu tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa terhadap pemandu menyebabkan lampu trafik musnah sekali gus menyebabkan kesesakan trafik.

Salah seorang penduduk di Vista Perdana, Eldric Chang memberitahu bahawa beliau amat kecewa dengan masalah itu yang menyusahkan semua pengguna jalan raya di kawasan terbabit.

“Sebagai contoh lampu trafik ke Vista Perdana yang tumbang beberapa kali menyebabkan kesesakan ketika menuju ke tempat kerja pada awal pagi,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, pihak berkuasa harus mengenakan tindakan tegas terhadap pemandu yang melakukan kesalahan tersebut dan mengelak pemandu lain memandu secara berbahaya.

“Ini bukan hanya menyebabkan kesosakan lampu trafik, malah berbahaya kepada pengguna jalan raya lain kerana tidak ada sesiapa yang mahu memberi jalan kepada pengguna lain ketika lampu trafik tidak berfungsi,” jelasnya.

Penduduk Vista Perdana beberapa menjadi mangsa ketiadaan lampu trafik dan pada Rabu lalu lampu trafik dikatakan dilanggar.

Pada hari berikutnya, ia telah dibetulkan semula tetapi didapati tidak berfungsi pada pagi semalam kerana dirempuh sekali lagi oleh kenderaan.