Pentas TBC kukuhkan perpaduan masyarakat

0

SRI AMAN: Penganjuran Pentas Tahun Baharu Cina 2015 Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman dan unit hiburan RTM Kuching mampu mengukuhkan perpaduan masyarakat negeri ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata kedatangan tahun kambing bagi masyarakat Cina tahun ini membawa pengertian cukup bermakna kerana haiwan itu membawa pengertian kedamaian dan kemakmuran selain memberi keuntungan.

“Menurut kepercayaan masyarakat Cina, tahun kambing adalah orang murah dan baik hati, adil serta lemah lembut kepada orang lain.

“Saya percaya, kedatangan tahun kambing membawa tuah lebih baik kepada kita semua,” katanya pada Pentas Tahun Baharu Cina 2015 di Stadium Mini Sri Aman, malam kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu berkata, begitu juga dengan program anjuran RTM pastinya membawa tuah serta kegembiraan seperti dapat menyatukan perpaduan kalangan masyarakat berbilang bangsa tanpa mengira Cina, Melayu, Iban dan lain-lain bangsa sekali gus dapat menyemarakkan suasana sambutan Tahun Baharu Cina.

“Program ini sebenarnya dijadikan sebagai medium pertemuan di antara pemimpin, jabatan kerajaan dan masyarakat setempat.

“Saya memuji usaha RTM Sri Aman kerana dapat menjayakan program ini bagi mendekatkan mereka dengan pendengar melalui Program Radio di lokasi.

“Saya juga memohon RTM terus mendampingi masyarakat melalui program yang memberi ilmu pengetahuan dan manfaat kepada mereka di samping menyediakan hiburan,” katanya.

Menurutnya, dalam kita bergembira merayakan perayaan ini kita perlu beringat dalam aspek perbelanjaan. Kerana umum mengetahui GST akan dilaksanakan mulai April tahun ini.

“GST adalah cukai barangan dan perkhidmatan di beberapa negara ia juga dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) atau cukai nilai tambah. Ini bukannya kerajaan menambah cukai sedia ada atau mengenakan cukai ke atas cukai.

Contohnya, mereka terlibat sektor perniagaan sebenarnya dengan adanya GST secara langsung harga barangan menjadi lebih murah. Namun, jika ada peniaga menjual barang kepada pengguna dengan harga lebih mahal mereka mengambil kesempatan kepada pengguna maka perbuatan itu salah.

Justeru, sekiranya ini berlaku kita boleh melapor kepada pihak berwajib kerana itu hak anda sebagai pengguna.

“Kita harus memahami tujuan, konsep pelaksanaan GST agar menjadi masyarakat bijak dan berpengetahuan,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengarah RTM Sarawak Jamel Seman, Pengurus Stesen RTM Sri Aman, Ramli Junaidi serta wakil Residen Bahagian Sri Aman, Noor Hayati Ahmad dan Penyelaras Pentas TBC 2015, Francis Linggie Nyaran.