Pihak bertanggungjawab bekalan air harus proaktif

0

Tambah baik khidmat bagi penuhi kehendak masyarakat

Oleh Reno Benjamin //

SIBU: Semua pihak bertanggungjawab pembekalan air di negeri ini harus proaktif dan berusaha merancang menambah baik perkhidmatan sedia ada bagi memenuhi kehendak masyarakat.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata mereka juga harus berusaha memperbaiki perkhidmatan dan kaedah-kaedah pengurusan serta menambah baik sistem diguna pakai selama ini.

“Justeru itu, kita menghantar beberapa pegawai bukan sahaja dari kementerian tetapi mereka bertanggungjawab dalam pembekalan air menghadiri persidangan, seminar dan pameran.

“Ini bertujuan mendapat sesuatu baharu dan membandingkan apa yang kita laksanakan untuk memperbaiki perkhidmatan yang ada,” katanya pada Majlis Jamuan Tahunan Lembaga Air Sibu di sini malam kelmarin.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Murni Suhaili, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Datuk Tiong Thai King, Pengerusi LAS merangkap Setiausaha Tetap Kementerian Kemudahan Awam Ubaidilla Abdul Latif dan Pengurus Besar LAS, Daniel Wong.

Menteri Kemudahan Awam itu memberitahu, teknologi serta produk-produk berkaitan industri air ini juga sentiasa berubah dan bertambah maju.

Oleh itu, semua pihak lembaga air perlu menerapkan teknologi serta produk baharu bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) serta menggunakannya dalam keadaan semasa.

“Ini adalah usaha penambahbaikan yang perlu kita usahakan memastikan kita terus berada di hadapan. Saya percaya dengan komitmen semua kita mampu menghadapi cabaran ini,” jelasnya.

Menyentuh mengenai LAS, Menteri Pembangunan Perindustrian itu berkata pengurusan serta kakitangan LAS menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau berharap komitmen itu diteruskan kerana permintaan bekalan air terawat di kawasan diliputi LAS meningkat dari semasa ke semasa.

“Ini adalah disebabkan pembangunan sama ada dari segi perumahan, komersil dan perindustrian yang berlaku justeru itu permintaan terus bertambah.

“Namun, saya percaya LAS dalam kedudukan yang betul bagi menyediakan perkhidmatan. Saya tahu LAS mempunyai corak kepimpinan yang baik serta komitmen tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan sumber air mentah di negeri ini termasuk di Sibu dijaga dan tidak tercemar.

Ini kerana, jika air tercemar menjejaskan semua pihak termasuk LAS yang banyak bergantung kepada Batang Rejang untuk mendapatkan bekalan air mentah.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada LAS kerana berjaya mendapat tiga pengiktirafan tahun lalu iaitu Anugerah Perkhidmatan Kaunter Cemerlang (APCK) Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2014 (Kategori Agensi Kerajaan).

Dua anugerah lain ialah Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan sempena Hari Audit 1Malaysia dan Persidangan Juruaudit Sektor Awam 2014 serta penarafan 5 Bintang bagi portal/laman web agensi dalam Malaysian Government Portal and Websites Assessment 2013.